KUALA LUMPUR – Yayasan Tengku Zafrul Aziz (TZA) menerima sejumlah RM3.5 juta bagi tahun 2026 berbanding RM1 juta tahun lalu menerusi sumbangan daripada individu dan organisasi yang disampaikan menerusi majlis apresiasinya di ibu negara hari ini.
Penasihatnya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan kepada salah satu inisiatif utama Yayasan TZA iaitu Program ACE SPM bagi memperkukuh persediaan akademik khususnya pelajar komuniti B40.
Menurutnya, pada tahun ini, beliau menyasarkan kira-kira 20 buah sekolah berbanding 10 irekodkan tahun lalu dengan penglibatan 467 pelajar di Selangor menerima bantuan itu manakala inisiatif digital pula berjaya menjangkau lebih 4,000 pelajar.
Pencapaian yang memberangsangkan itu menguatkan lagi tekad untuk memperluaskan program tersebut dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa hadapan.
“Program itu berjaya meningkatkan keputusan SPM pelajar menjadi lebih baik dan dengan itu kita mendapat lebih banyak peruntukan atau sokongan daripada individu dan swasta dengan kerjasama Kementerian Pendidikan menerusi menterinya, Fadhlina Sidek.
“Menerusi jumlah peruntukan RM3.5 juta yang diterima hari ini, insya-Allah kita akan tingkatkan dua kali ganda dengan kerjasama Kementerian Pendidikan menyasarkan 20 buah sekolah bagi membantu pelajar selain melaksanakan pelbagai program melibatkan golongan B40.

Ditanya mengenai fokus Yayasan TZA dalam pemberian bantuan kepada negeri-negeri lain, beliau memberitahu, setakat ini masih memfokuskan di Selangor namun ada perancangan untuk memperluaskannya ke Pulau Pinang dan Perak.
Ketika ini Yayasan TZA meneroka peluang memperkukuh Program ACE SPM dan meluaskan impaknya selain untuk melengkapkan anak-anak Malaysia dengan keyakinan, ilmu pengetahuan serta peluang merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.
Katanya, selain pendidikan, Yayasan TZA juga komited dalam memperkukuh komuniti melalui pelbagai inisiatif lain seperti Program Larian KITA bagi menyokong pelbagai tujuan murni sambil menggalakkan amalan hidup sihat.
“Menjelang Siri Ke-4 Larian KITA pada Oktober 2026, kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai peserta, sama ada penyokong setia mahupun pelari yang pertama kali menyertainya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, penyumbang dan tetamu kehormat yang hadir atas semangat kerjasama sebagai pemangkin utama perjalanan Yayasan TZA selama ini.
Tengku Zafrul turut mengiktiraf individu dan organisasi yang sentiasa berdiri teguh bersama Yayasan TZA.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Apresiasi Yayasan TZA diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama Pengerusi Yayasan TZA, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun di ibu negara.
Yayasan TZA ditubuhkan pada tahun 2022 bagi mewujudkan impak yang positif menerusi empat teras utama iaitu modal insan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus juga literasi kewangan, teknologi serta Inovasi.
Empat teras itu bertujuan memenuhi keperluan semasa, malah memperkasa individu dan komuniti untuk membina masa depan lebih baik. – MalaysiaGazette
















