Warga asing yang ditahan dalam operasi operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama agensi penguat kuasa di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan. - Foto: JIM Sabah

KUALA LUMPUR – Seramai 89 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama agensi penguat kuasa di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan.

Operasi yang dijalankan bertujuan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

Di Kota Kinabalu, operasi bersama Unit Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memeriksa seramai 234 individu.

Hasil pemeriksaan, seramai 15 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 warga Filipina masing-masing tujuh lelaki dan tujuh wanita dewasa, serta seorang wanita warga Indonesia.

Sementara itu, di Lahad Datu, operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah memeriksa 141 individu dan menahan seramai 62 warga asing.

Daripada jumlah itu, 54 merupakan warga Filipina terdiri daripada 33 lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Turut ditahan lapan warga Indonesia melibatkan lima lelaki dan tiga wanita dewasa.

Di Sandakan pula, operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Sandakan memeriksa 66 individu dan menahan 12 warga asing.

Tangkapan di daerah itu melibatkan 10 warga Filipina iaitu tiga lelaki dan tujuh wanita dewasa, manakala dua lagi adalah warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.

JIM Sabah dalam kenyataannya memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.

Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast