KUALA LUMPUR – Cameron Ultra yang juga dikenali sebagai CULTRA bakal kembali apabila acara larian denai lasak bertaraf antarabangsa yang diadakan setiap tahun di Cameron Highlands, Pahang itu akan bermula 17 Julai depan selama tiga hari.
Lebih menarik, larian yang terkenal sebagai salah satu acara larian denai paling berprestij di Malaysia dan berjaya menarik penyertaan ribuan pelari dari dalam dan luar negara akan menyambut edisi penganjuran yang ke-10.
Berpusat di Tanah Rata, laluan larian CULTRA membawa peserta merentasi kawasan landskap yang menakjubkan termasuk ladang teh, denai hutan, dan kawasan berbukit yang mencabar.
Acara itu menawarkan pelbagai pilihan jarak yang sesuai untuk pelbagai tahap kecergasan, dari larian santai untuk pelari junior sejauh empat kilometer (km) sehingga kepada kategori ultra yang sangat mencabar seperti 60 km dan 100 km.

Keunikan dan cabaran peserta diuji dengan bentuk muka bumi yang teknikal serta keadaan cuaca tanah tinggi yang sejuk dan mudah berubah.
Diuruskan oleh BOLT Events Asia, CULTRA sering dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Pahang kerana impak positifnya kepada ekonomi dan pelancongan tempatan.
Sementara itu, rakan penaja perubatan CULTRA, Megaklinik Dr. Suffian (MKDS) menyarankan peserta larian agar menjalani pemeriksaan kesihatan dalam memastikan fizikal mereka bersedia mengharungi cabaran getir kejohanan itu.
Kata klinik perubatan dan pusat pengurusan berat badan itu, ia melibatkan ujian saringan tanda vital iaitu ukuran fungsi fisiologis asas tubuh manusia yang digunakan oleh pengamal perubatan untuk menilai tahap kesihatan fizikal seseorang.
Turut diperiksa indeks jisim badan dan prosedur ujian mendengar suara pernafasan.
Peserta yang terlibat boleh menjalani pemeriksaaan di tiga klinik iaitu di Wangsa Maju, Shah Alam dan Putrajaya bermula harga pakej serendah RM25. – MalaysiaGazette
















