PEKAN – Hotel Sri Manja, Kuantan menjelaskan bahawa premis itu mempunyai sijil halal sepanjang 13 tahun beroperasi sebelum ini.
Dalam satu notis awam, katanya, penarikan sijil halal perniagaan baru-baru ini adalah berkaitan beberapa aspek pematuhan dan kebersihan yang memerlukan penambahbaikan.
“Kami memahami kekeliruan dan kebimbangan yang timbul berikutan status sijil Halal Sri Manja Hotel.
“Sejurus selepas perkara tersebut dibangkitkan, pihak pengurusan telah mengambil tindakan pembetulan serta-merta dan langkah-langkah penambahbaikan yang diperlukan telah dilaksanakan.
“Sepanjang 13 tahun beroperasi dengan pensijilan Halal, Sri Manja Hotel sentiasa komited dalam mematuhi keperluan Halal, keselamatan makanan dan standard kebersihan yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun sedang dalam proses permohonan semula sijil Halal, operasi syarikat itu tetap dijalankan mengikut prosedur dan garis panduan Halal.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melalui pemaklumam rasmi memaklumkan telah menolak permohonan rayuan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia milik Syarikat Seri Manja Hotel Sdn Bhd.
Katanya, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Pengesahan Halal Negeri Pahang Darul Makmur Bil 2/2026.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat,” katanya. – MalaysiaGazette
















