Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) masih tidak dapat mengesahkan berlakunya kes Gastroenteritis Akut (AGE) dalam kalangan pengunjung kawasan rekreasi sungai di Bentong sehingga setakat ini.

Timbalan Pengarahnya, Dr Mohd Rahim Sulong berkata, pihaknya belum menerima kes berkaitan di fasiliti kesihatan seluruh negeri setakat ini.

“Dakwaan itu tidak dapat disahkan lagi. Pengamatan kes AGE di klinik kita pun tak menunjukkan peningkatan. Pihak JKNP masih dalam proses siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Empat hari lepas, JKNP dalam kenyataannya memberitahu telah menjalankan siasatan berhubung gejala cirit-birit, muntah dan demam yang didakwa dialami beberapa pengunjung selepas mandi sungai di kawasan rekreasi di  Bentong baru-baru ini.

Jelasnya, berdasarkan penilaian risiko dilakukan dan hasil siasatan awal mendapati tiada notifikasi kejadian keracunan makanan atau peningkatan luar biasa kes AGE yang diterima melalui sistem survelan sedia ada.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan lapangan dan penilaian risiko dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong mendapati tiada kes AGE  yang dapat disahkan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Persampelan air mentah untuk analisis mikrobiologi turut dijalankan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Benus, Janda Baik pada 14 Jun lalu dan masih menunggu keputusan analisis makmal tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa pengunjung kawasan rekreasi sungai di Bentong mendakwa mengalami gejala cirit-birit, muntah dan demam selepas menjalankan aktiviti mandi-manda di kawasan berkenaan minggu lepas.

Kejadian itu tular selepas hantaran berkaitan kejadian itu dikongsi pengunjung terlibat di platform media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast