PEKAN – Polis belum menerima laporan susulan kemalangan didakwa membabitkan pegawai media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, DSP Ahmad Ridha Hariri hari ini.
“Difahamkan empat individu iaitu seorang wanita dan empat lelaki yang terlibat dalam kemalangan itu. Bagaimanapun, tiada sebarang laporan diterima sehingga jam 12.30 tengah hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, kesemua individu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai menyambung perjalanan ke destinasi masing-masing.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam hantaran di laman Facebooknya memaklumkan kesemua mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Maran, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 di Yayasan Pahang, Kuantan malam tadi.
“Alhamdulillah, mereka semua selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Syukur ke hadrat Allah SWT atas perlindungan dan rahmat-Nya.
“Semoga mereka yang terlibat segera pulih sepenuhnya dan semoga kita semua sentiasa dipelihara Allah SWT, walau di mana pun kita berada,” katanya.
Dalam hantaran itu, beliau turut memuat naik gambar kemalangan kereta itu yang memaparkan sebuah lori dalam keadaan terbalik berhampiran kereta berkenaan. – MalaysiaGazette
















