KLANG – Parti Wawasan Negara (Wawasan) Selangor tampil mempertahankan presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi punca utama ketegangan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Pengerusinya, Sathiyan Gopal berkata, tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang mempertikaikan kedudukan Hamzah serta kewujudan Wawasan dalam PN disifatkan sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan semangat kerjasama dalam gabungan tersebut.
“PN diwujudkan oleh parti-parti komponen yang bergabung. Tidak wajar mana-mana pihak mendakwa PN adalah hak milik mereka semata-mata.
“Malah tidak wajar Bersatu mengarahkan parti lain keluar daripada gabungan itu,” katanya pada sidang media di pejabat penyelaras Wawasan Selangor di Pekan Meru, di sini, hari ini.

Sathiyan turut mempersoalkan tindakan Bersatu didakwa memecat beberapa pemimpin dan wakil rakyat sebelum menyalahkan Hamzah atas perpecahan yang berlaku.
“Fokus utama pembangkang ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha menumbangkan kerajaan dan membela rakyat, bukannya terlibat dalam pertelingkahan dalaman.
“Agenda utama adalah mengembalikan pentadbiran negara yang lebih baik. Jangan habiskan masa menyerang sesama sendiri sehingga mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan sokongan penuh Wawasan terhadap Hamzah disifatkan sebagai tokoh penting dalam usaha membina ‘Konsensus Nasional Baharu’ bagi menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
“Wawasan akan terus memperkukuh kedudukan parti dan menyokong sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan tertinggi PN.
“Ia demi memastikan gabungan tersebut kekal relevan serta berdaya saing menjelang pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















