Tunku Ismail dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Ismail membalas kenyataan perdana menteri yang menyifatkan Johor sebagai sebuah negeri kaya namun berdepan pelbagai ketirisan.

Pemangku Sultan Johor itu menegaskan, Kerajaan Persekutuan merupakan punca hasil yang dijana negeri ini tidak dikembalikan secara adil.

“Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini membuat satu kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak bocor.

“Ya, memang banyak bocor. Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor,” titah baginda dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor, hari ini.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, kenyataan tersebut bukan sekadar berasaskan teori, sebaliknya pengalaman baginda sendiri berdepan projek pembangunan Johor yang didakwa dilambatkan atau disekat oleh Putrajaya.

Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan bagi memenuhi keperluan hampir lima juta rakyat negeri itu.

“Apabila kita memberi hasil negeri kita lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga 4.9 juta rakyat Johor, bagaimana? Benda itu tidak logik,” titah baginda.

Baginda menegaskan, sepatutnya sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip dari Johor wajar dikembalikan kepada negeri bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.

Baginda berkata, urusan asas seperti membaiki bumbung sekolah di Segamat, jalan rosak di Batu Pahat dan menaik taraf kemudahan hospital tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama hanya kerana perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Tunku Mahkota Ismail turut membangkitkan isu kelewatan projek kesihatan, termasuk Hospital Pasir Gudang, kekurangan doktor dan kakitangan serta kelulusan Hospital Sultanah Aminah II yang masih belum dimuktamadkan.

Baginda bertitah, Hospital Pasir Gudang pernah berdepan risiko pembatalan sebelum baginda secara konsisten mendesak selama empat tahun supaya kemudahan itu disiapkan dan dibuka kepada rakyat.

Bagaimanapun, hospital berkenaan kini masih beroperasi dengan kekurangan doktor dan kakitangan, sekali gus menjejaskan tahap perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Siapa yang susah? Rakyat yang susah atau orang atasan yang susah? Rakyat yang susah,” titah baginda.

Baginda turut menyifatkan kelewatan beberapa projek penting itu sebagai antara faktor yang mengekang pembangunan Johor, walaupun negeri berkenaan memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan, tuntutan pemulangan hasil bukan bertujuan untuk bermusuh atau menimbulkan masalah kepada Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya titah baginda, pemulangan hasil yang lebih munasabah akan membolehkan Johor berdiri lebih kukuh, menjaga keperluan rakyatnya serta pada masa sama mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan.

“Kita bukan mahu bermusuh, berdepan dengan sesiapa atau memberi masalah kepada kerajaan yang mentadbir negara.

“Tetapi mereka kena menjaga kita sebagai rakan. Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengambil serius kehidupan rakyat Johor, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Johor,” titah baginda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast