TIJUANA, Mexico – Iran menyifatkan layanan yang diterimanya pada Piala Dunia di Amerika Utara sebagai satu “titik hitam” dalam sejarah kejohanan itu.
Iran sebelum ini memohon untuk terbang ke Amerika Syarikat dua hari sebelum perlawanan seterusnya menentang Belgium di Los Angeles pada Ahad kerana aksi itu dijadual bermula pada tengah hari waktu tempatan.
Bagaimanapun, Persekutuan Bola Sepak Iran mendakwa permohonan mereka untuk mengikuti jadual perjalanan yang sama telah ditolak.
Bagaimanapun, pasukan Belgium pula dibenarkan berlepas ke California pada Jumaat, dua hari sebelum perlawanan berlangsung.
Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Iran, Hedayat Mombeyni yang membuat dakwaan itu memaklumkan kepada pemberita sehari selepas badan induk itu mengumumkan akan mengemukakan aduan kepada FIFA kerana mendakwa pasukan tersebut berdepan sekatan perjalanan yang menjejaskan prestasi mereka.
“Ini adalah kejohanan antarabangsa yang besar. Pelanggaran terhadap peraturan dan perjanjian yang telah dipersetujui, pada pandangan saya, mencemarkan sukan bola sepak itu sendiri.
“Saya percaya perkara ini akan menjadi satu titik hitam dalam sejarah moden Piala Dunia,” kata Mombeyni kepada pemberita di kem latihan pasukan di Tijuana, Mexico.
Pentadbiran Amerika Syarikat, yang baharu menandatangani perjanjian sementara bagi menamatkan konflik dengan Iran, menolak dakwaan tersebut.
Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas FIFA White House, Andrew Giuliani berkata, Iran telah dimaklumkan lebih awal mereka hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat sehari sebelum perlawanan.
“Pasukan itu dibenarkan masuk sehari sebelum perlawanan berlangsung,” katanya kepada CBS News pada Isnin.
Mengikut peraturan FIFA bagi Piala Dunia, pasukan sepatutnya bergerak dari pangkalan latihan ke lokasi perlawanan sehari sebelum aksi berlangsung, namun perjalanan dua hari lebih awal dibenarkan dalam “keadaan luar biasa”.
Mombeyni turut mengkritik pihak penganjur dari Amerika Syarikat.
“Peraturan mesti dipatuhi. Pada saya, Giuliani sepatutnya mengkaji peraturan lebih awal. Individu yang tidak mampu melaksanakan peraturan FIFA tidak seharusnya menjadi tuan rumah, dan FIFA juga tidak sepatutnya memilih mereka sebagai penganjur.
“Beliau sepatutnya memahami peraturan lebih awal, berhubung dengan wakil Team Melli Iran dan tidak menimbulkan masalah seperti ini,” ujarnya.
Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada merupakan edisi pertama dalam sejarah yang menyaksikan sebuah negara tuan rumah perlu menerima kehadiran pasukan dari negara yang pernah berada dalam konflik peperangan dengannya. – Agensi
















