BATU PAHAT – Minyak masak terpakai kini boleh dijadikan sebagai punca pendapatan sampingan dan mampu meraih pulangan lumayan menerusi Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif Ekonomi Kitaran Agrikomoditi KPK sejak 2023 itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya serta Petronas.
Jelasnya, ia bagi memperkukuh amalan ekonomi kitaran serta menggalakkan pengurusan sisa yang lebih mampan melalui pengumpulan dan kitar semula minyak masak terpakai daripada isi rumah, pengusaha makanan dan komuniti setempat.
“Program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Ekonomi Kitaran Agrikomoditi KPK yang menyokong pembangunan industri biobahan api negara.
“Minyak masak terpakai yang dikumpulkan akan diproses menjadi produk bernilai tinggi termasuk Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF), sekali gus menyumbang kepada usaha negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050,” katanya.
Noraini berkata demikian ketika berucap dalam majlis meraikan pencapaian 100 stesen minyak Petronas bagi pengumpulan minyak masak terpakai di Stesen Petronas Parit Bintang di sini hari ini.
Katanya, selain memberi manfaat kepada alam sekitar, program ini turut membuka peluang kepada rakyat menjana pendapatan tambahan melalui pengumpulan minyak masak terpakai yang sebelum ini dianggap sebagai sisa buangan.
Pencapaian itu, katanya, mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa lebih bertanggungjawab serta potensi minyak masak terpakai sebagai sumber ekonomi baharu dan mampu menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca.
“Sejak diperkenalkan dengan hanya tiga buah stesen Petronas pada tahun 2023, program ini telah berkembang dengan memberangsangkan hasil kerjasama erat antara KPK dan Petronas Dagangan Berhad.
“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak 1.6 juta kilogram minyak masak terpakai telah berjaya dikumpulkan dengan penyertaan seramai 560,000 orang awam di seluruh negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















