IPOH – Bekas Exco Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim disahkan kembali menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas enam tahun meninggalkan parti berkenaan susulan kemelut politik yang melanda negara pada 2020.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi ketika Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tambun 2026 di sini pada Ahad.
Asmuni berkata, hasrat Hasnul untuk kembali menyertai Amanah sebenarnya telah disuarakan sejak sekian lama, namun permohonan tersebut hanya diproses selepas melihat kepada perkembangan politik semasa yang membolehkan ia dipertimbangkan semula.
“Hasnul sudah lama berhasrat untuk menyertai semula Amanah, namun suasana sebelum ini tidak begitu kondusif untuk perkara itu dibincangkan dan diputuskan.
“Beliau meninggalkan Amanah dahulu pun bukan kerana dipecat atau disingkirkan parti, sebaliknya ia berlaku susulan peristiwa yang menimpa kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak ketika itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Asmuni berkata, penerimaan semula bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong dan bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional itu diputuskan menerusi mesyuarat Pengurusan Nasional dan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 18 Jun lalu.
Namun ujar beliau, penyertaan semula Hasnul Zulkarnain itu masih tertakluk kepada garis panduan yang sedang dirangka untuk semua bekas ahli yang diterima kembali ke dalam parti.
Mengulas berkenaan kepentingan kemasukan semula pemimpin lama ke dalam parti, Asmuni berkata, ramai bekas ahli masih mempunyai kesetiaan dengan perjuangan parti asal mereka walaupun telah berada di luar.

“Perkara ini bukan hanya berlaku dalam Amanah sahaja, malah turut berlaku dalam parti-parti lain seperti UMNO, apabila ada bekas ahli yang memilih untuk kembali bersama parti yang pernah mereka sertai.
“Mungkin sebelum ini faktor suasana politik ketika itu serta kurang kematangan dalam membuat keputusan menyebabkan mereka ini mengambil langkah meninggalkan parti,” katanya.
Pada masa sama, Asmuni yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi menolak dakwaan bahawa , Hasnul Zulkarnain menjadi antara punca kejatuhan kerajaan PH di Perak pada 2020.
Jelas beliau, PH ketika itu telah pun kehilangan kuasa di peringkat kerajaan negeri selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik diri daripada PH bagi membentuk gabungan politik baharu.
“Kerajaan PH sudah jatuh terlebih dahulu apabila Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan Bersatu menarik diri daripada PH.
“Hanya selepas pengumuman itu, Hasnul dan Paul Yong Choo Kiong menyatakan sokongan kepada kerajaan yang dibentuk kemudian. Jadi, dakwaan bahawa mereka menyumbang kepada kejatuhan kerajaan negeri adalah tidak tepat,” katanya.
Pada Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN PH mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Selain Hasnul Zulkarnain, bekas Exco Perak yang juga bekas ADUN Tronoh, Choo Kiong serta bekas ADUN Buntong, A Sivasubramaniam masing-masing dari DAP turut menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ketika itu.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas permohonannya untuk menyertai semula parti itu akhirnya diluluskan.

Beliau berkata, permohonan untuk kembali menganggotai Amanah telah dikemukakan sejak tahun lalu, namun ia hanya dipertimbangkan selepas mendapat sokongan daripada kepimpinan parti di peringkat negeri dan nasional.
“Amanah Nasional pada dasarnya telah meluluskan permohonan keahlian saya dengan syarat-syarat tertentu.
“Justeru pada ruang ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional kerana telah mengembalikan keahlian saya,” katanya.
Menurut Hasnul Zulkarnain, walaupun meninggalkan Amanah hampir enam tahun lalu, dirinya tidak pernah menjauhkan diri daripada dunia politik, sebaliknya terus aktif membantu pelbagai gerak kerja Kerajaan Perpaduan sama ada di media sosial mahupun di lapangan.
“Saya percaya mereka memberi ruang untuk saya kembali kerana yakin dengan sumbangan yang boleh saya berikan kepada parti, terutamanya untuk Amanah Perak dan kawasan Tambun.
“Ini penting dalam usaha kita untuk memenangi semua (kerusi-kerusi yang ditandingi) Amanah di Perak, di samping menguatkan dan memberi nilai tambah kepada Pakatan Harapan (PH) Perak pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya lagi.
Mengulas sebab memilih kembali Amanah sebagai wadah perjuangan politiknya, Hasnul Zulkarnain berkata, parti itu mempunyai nilai sentimental yang kuat kerana beliau terlibat sejak peringkat awal penubuhannya.
“Saya lahir daripada Amanah ini dan terlibat pada peringkat awal penubuhannya. Jiwa dan semangat saya sebenarnya berada bersama rakan-rakan dalam Amanah.
“Apabila mereka menerima saya semula, saya yakin dapat bekerjasama lebih kuat dengan rakan-rakan lama kerana nilai hubungan dan kefahaman itu telah lama terbina,” ujarnya.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Hasnul Zulkarnain menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon.
“Untuk peringkat awal ini, saya tidak mempunyai niat untuk bertanding. Saya memahami status saya sebagai ahli yang diterima semula.
“Mungkin parti mahu menilai terlebih dahulu sumbangan yang boleh saya berikan sebelum memberi ruang lain kepada saya pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















