KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, keharusan dan rukhsah berkaitan tontonan perlawanan bola sepak tertakluk kepada pemeliharaan syariat termasuk menjaga solat, pekerjaan dan tanggungjawab harian.
Menurut jabatan itu, peminat Piala Dunia FIFA yang berlangsung kini, perlu bersikap sederhana dan berakhlak serta mengelakkan fanatik, perbalahan dan perkara yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT.
“Segala bentuk hiburan termasuk aktiviti menonton perlawanan bola sepak, hendaklah dinilai berdasarkan prinsip keseimbangan (wasatiyyah) yang menjadi tunjang ajaran Islam,” ujar jabatan itu dalam laman sosial Facebook.
Perkara itu dikupas menerusi ruangan Bayan Linnas Siri Ke-356: Menonton Perlawanan Bola Sepak Menurut Islam: Antara Hiburan Dan Tuntutan Adab.
Jabatan itu seterusnya menjelaskan, hiburan dalam Islam bukanlah suatu kebebasan tanpa batas, sebaliknya ia tertakluk kepada garis panduan yang memastikan manusia tidak terjebak dalam perkara yang melalaikan, merosakkan akhlak atau menyebabkan pengabaian kewajipan terhadap Allah SWT.
Malah, katanya, sesuatu bentuk hiburan yang pada asalnya harus boleh bertukar menjadi ibadah dan diberikan ganjaran pahala apabila disertai dengan niat yang baik serta dilaksanakan dalam batasan syarak.
Sebagai contoh, jelasnya, seseorang yang berhibur bagi merehatkan minda agar lebih bertenaga untuk beribadah, melaksanakan tugas dengan lebih baik atau mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga dan sahabat.
Maka katanya, aktiviti tersebut boleh menjadi sebahagian daripada amal yang diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Ruangan itu turut mengupas isu sama ada perlawanan bola sepak boleh ditonton walhal ia melibatkan pendedahan lutut yang merupakan aurat tubuh.
Jabatan itu menjelaskan, lutut bukanlah dikira sebagai aurat dalam mazhab Syafi’i, namun ia tetap wajib ditutup bagi memastikan paha dapat ditutup dengan sempurna.
Ujarnya para ulama berbeza pandangan mengenai hukum menonton sukan yang melibatkan pemain yang tidak menutup aurat secara sempurna.
Sebahagian ulama mengharamkannya secara mutlak, manakala sebahagian yang lain mengharuskannya dengan syarat tidak disertai unsur-unsur haram seperti syahwat, perjudian, pergaulan bebas atau pengabaian kewajipan agama.
“Pandangan yang lebih sederhana mengambil kira tujuan sebenar penonton yang lazimnya menyaksikan kemahiran, strategi permainan dan semangat kesukanan, bukannya untuk melihat aurat pemain,” ujarnya.
Berdasarkan pertimbangan tersebut, menonton sukan seperti bola sepak, badminton, hoki dan sepak takraw boleh diharuskan selagi pakaian pemain masih dalam batas kesopanan dan tidak terlalu mendedahkan tubuh badan.
Namun, sukan yang melibatkan pendedahan aurat secara ketara seperti renang, gimnastik dan acara terjun tidak termasuk dalam kelonggaran ini.
Berkaitan isu penonton bermusafir untuk menyaksikan pertandingan bola sepak boleh mendapatkan rukhsah dalam beribadah, ulama berbeza pendapat mengenainya.
Menurut jabatan itu, seseorang yang bermusafir semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak, sama ada di dalam atau luar negara, diharuskan untuk mengambil rukhsah solat musafir seperti menjamakkan dan menqasarkan solat, mengikut syarat-syaratnya yang telah ditetapkan.
“Namun, keharusan tersebut tertakluk kepada syarat bahawa perjalanan itu tidak dicemari dengan tujuan atau perlakuan yang haram seperti pergaulan bebas, meminum arak, mengambil dadah, meninggalkan solat atau melakukan maksiat yang lain,” ujarnya.
Berkaitan isu tidur lewat kerana menonton bola sepak, jabatan itu menjelaskan, Islam mengajar umatnya supaya mengurus masa dan kehidupan secara seimbang mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Sekiranya berjaga malam untuk menonton bola sepak menyebabkan seseorang terlepas solat Subuh, bangun lewat sehingga menjejaskan kerja dan pelajaran, atau membawa kepada kelalaian yang berterusan, maka perbuatan tersebut menjadi makruh dan boleh membawa kepada dosa apabila mengakibatkan pengabaian kewajipan.
“Minat terhadap sukan tidak salah, tetapi ia tidak boleh mengatasi tujuan utama penciptaan malam sebagai waktu rehat dan tidak boleh menjadi sebab seseorang mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT dan sesama manusia,” katanya.
Jabatan itu turut menyampaikan nasihat umum bahawa mereka yang ingin menonton perlawanan bola sepak hendaklah memastikan hiburan tersebut kekal dalam batas syarak termasuk menjauhi percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
“Jagalah lisan ketika bersorak dan berbual. Elakkan kata-kata lucah, makian, hinaan, provokasi atau ungkapan yang tidak baik terhadap pemain, pengadil, penyokong lawan mahupun pasukan tertentu.
“Berpada-padalah dalam menonton perlawanan bola sepak, jangan sampai ia mengganggu tanggungjawab hakiki seperti kerja, pelajaran, keluarga dan kesihatan.
“Elakkan juga fanatik melampau yang boleh membawa kepada perbalahan, pergaduhan atau permusuhan. Bola sepak hanyalah hiburan, sedangkan menjaga agama, akhlak dan persaudaraan adalah kewajipan yang lebih utama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















