KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mendedahkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke didakwa memperdayanya dan tidak menunaikan janji untuk menyelesaikan kos guaman kes saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jamal berkata, kegagalan Menteri Pengangkutan itu menyebabkan beliau kini terpaksa menanggung kos guaman berjumlah RM66,061.85 dan berdepan tindakan lelongan harta 14 harta alih yang disita dari kediamannya.
Beliau berkata, perkara itu mengecewakan kerana Anthony Loke sebelum ini didakwa memberi jaminan bahawa isu berkenaan akan diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
“Anthony Loke seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai. Kes ini kecil sahaja, tapi dia tak boleh nak selesaikan sedangkan dia janji dengan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Komunikasi BN Selangor sudah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Ahli Parlimen Seputeh itu dalam kes saman fitnah, semalam.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Teresa Kok dalam kenyataan media semalam mengesahkan Jamal selaku penghutang penghakiman, menyerahkan cek berjumlah RM66,600 kepada Teresa Kok selaku pemiutang penghakiman jam 5 petang kelmarin, sebagai penyelesaian kepada hutang penghakiman tersebut.
Berikutan pembayaran itu, lelongan awam yang sebelum ini dijadualkan esok ditangguhkan dan tidak akan diteruskan buat sementara waktu, sementara menunggu penjelasan cek pembayaran berkenaan.
Sebelum ini, 14 harta alih yang disita dari kediaman Jamal di Ampang Jaya di sini dijadual dilelong esok selepas beliau gagal menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Teresa Kok dalam kes saman fitnah.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lalu yang menolak permohonan tuntutan interplider dikemukakan anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel yang mendakwa barangan disita itu adalah miliknya.

Dalam pada itu, Jamal mendakwa, janji Anthony Loke itu disaksikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
“Perkara itu disaksikan sendiri Datuk Megat Zulkarnain. Malah janji penyelesaian kos guaman itu telah dituliskan oleh peguam saya kepada peguam Teresa Kok.
“Malangnya janji Anthony Loke hanya tinggal janji dan akhirnya saya terpaksa lelong selipar dan tuala untuk membayar kos tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Jamal menyifatkan kegagalan Loke menunaikan janji itu sebagai bukti bahawa kepimpinan DAP tidak mengotakan janji yang diberikan kepada rakan komponen Kerajaan Perpaduan itu.
“Jika perkara kecil seperti ini pun gagal diselesaikan mengikut janji yang dibuat, bagaimana rakyat boleh meletakkan keyakinan terhadap kepimpinannya,” tegasnya.
Jamal turut mendakwa, walaupun UMNO dan penyokongnya pernah membantu calon DAP dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, beliau berasa kecewa dengan layanan yang diterima dalam isu berkenaan.
“Jadi rakyat Malaysia jangan percaya dengan DAP, inilah sebenarnya gambaran DAP dan Teresa Kok dengan cara dia.
“Walaupun sudah dapat RM300,000 (saman fitnah) dan ketika pilihan raya lepas, walaupun UMNO bersama dengan dia dan ketika PRN UMNO bantu dia, saya bantu DAP untuk menang.
“Tetapi akhirnya apa yang DAP buat, jadi inilah sebenarnya perangai pemimpin-pemimpin DAP yang hanya pandai berjanji tetapi tak boleh laksanakan janji,” katanya lagi.
Mengikut rekod, pada 28 Januari lepas, Penolong Kanan Pendaftar bersama bailif, peguam dan pegawai polis telah ke kediaman Jamal untuk melaksanakan writ penyitaan dan penjualan terhadap 14 harta alih berkenaan.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan oleh bailif mahkamah itu bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak, iaitu kos yang sepatutnya dibayar kepada Teresa Kok dalam kes saman itu, namun masih belum dijelaskan.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa Kok.
Bagaimanapun Jamal telah menjelaskan bayaran ganti rugi tersebut.
Pada 26 Julai 2022, Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa Kok.
Teresa Kok memfailkan saman itu pada 6 April 2017 yang mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa sidang media pada 8 Mac tahun yang sama.
Menerusi pernyataan tuntutan, Teresa Kok mendakwa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik, termasuk melalui akaun Facebook Jamal, yang memberi gambaran beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi serta merupakan seorang yang tidak beretika. – MalaysiaGazette
















