Masturah Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Wanita Muda Parti Amanah Nasional (WARDA) mencadangkan supaya usaha mencapai sasaran 30 peratus calon wanita dalam landskap politik negara diperkukuhkan secara lebih tersusun melalui pendekatan dasar dan struktur.

Ketuanya, Masturah Abu Bakar berkata, ia termasuk dalam proses pemilihan calon bagi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri serta dalam pemilihan anggota jawatankuasa pimpinan di semua peringkat pada masa akan datang.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan keterlibatan wanita tidak hanya bersifat simbolik, tetapi benar-benar diterjemahkan secara sistematik, berterusan dan efektif dalam struktur kepimpinan parti.

“WARDA kekal komited untuk memperkukuh peranan wanita muda sebagai peneraju perubahan, yang bukan sahaja hadir dalam struktur organisasi, tetapi turut berada di barisan hadapan dalam membawa suara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, katanya, WARDA menyokong penuh pendirian Amanah dalam usaha memperkukuhkan dasar penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam landskap politik negara.

Menurut beliau, pendirian itu mencerminkan komitmen berterusan Amanah untuk memperkasa peranan wanita serta memastikan penyertaan yang lebih inklusif, seimbang dan progresif dalam politik.

Beliau turut berpandangan bahawa langkah itu bukan sekadar sasaran angka, tetapi satu pengiktirafan penting terhadap kapasiti dan peranan wanita sebagai sebahagian daripada generasi peneraju masa depan politik Malaysia yang inklusif dan berdaya saing.

“Wanita hari ini, khususnya wanita muda, bukan lagi sekadar pelengkap dalam politik, tetapi merupakan antara tunggak utama yang membawa suara generasi baharu serta mencerminkan aspirasi pengundi muda yang progresif dan dinamik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan dan ruang yang diberikan oleh parti dalam membuka ruang yang lebih luas kepada calon wanita muda untuk diketengahkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Kepercayaan ini membuktikan bahawa prinsip memperkasa wanita bukan hanya retorik, tetapi diterjemahkan dalam tindakan dan ia jelas menunjukkan bahawa parti Amanah konsisten dengan pendekatan “walk the talk” dalam memperkukuh peranan wanita dalam politik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast