KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan tujuan sebenar Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung esok ketika gabungan itu berdepan pelbagai isu dalaman serta persiapan menghadapi pilihan raya.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut sepatutnya dipanggil lebih awal sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dan ketika timbul kemungkinan DUN Negeri Sembilan turut dibubarkan.
“Akhirnya ada Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MT PN), walaupun bukan mesyuarat biasa. Sepatutnya Mesyuarat MT PN telah dipanggil sebaik Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan dan apabila terdapat kemungkinan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan akan dibubarkan.
“Selepas Mesyuarat MT PN, wajarlah dipanggil pula Mesyuarat Rundingan Kerusi dan Persiapan Pilihanraya. Dan selepas itu, dipanggil Mesyuarat Jawatankuasa ‘electoral pact’ dengan parti-parti bukan anggota PN. Barulah teratur perjalanan Perikatan Nasional,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tun Faisal turut mempersoalkan mengapa mesyuarat tersebut tidak diadakan lebih awal sedangkan banyak urusan berkaitan persiapan pilihan raya memerlukan keputusan segera daripada kepimpinan tertinggi gabungan itu.
“Persoalannya, kenapakah Mesyuarat MT PN ini tidak dipanggil lebih awal? Sedangkan banyak urusan berkaitan persiapan PN memasuki pilihanraya perlu diuruskan,” katanya.
Beliau pada masa sama mendakwa Pas tidak membuat keputusan muktamad dalam mesyuarat MT PN, sebaliknya perkara yang dibincangkan perlu dirujuk semula kepada parti sebelum diputuskan.
“Difahamkan, Pas tidak membuat keputusan semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MT PN).
“Berdasarkan kenyataan seorang pemimpin Pas yang disiarkan oleh media, menjelaskan, ‘kita bincang, runding apa yang tak selesai bawa balik kepada parti untuk dibincang dan kemudian diambil keputusan parti bawa balik ke mesyuarat gabungan akan datang, itu proses yang berlaku’,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada mesyuarat tergempar yang dipanggil esok itu benar-benar bertujuan membuat keputusan atau sekadar mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan pihak tertentu.
“Jika begitu apakah tujuan dipanggil Mesyuarat Tergempar MT PN pada 22 Jun 2026 ini? Untuk buat keputusan atau buat cadangan? Atau hanya menyampaikan keputusan yang telah dibuat di luar mesyuarat MT PN?” soalnya.
Tun Faisal turut mendakwa Pengerusi PN ketika ini tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memuktamadkan keputusan kerana perlu merujuk kepada struktur parti yang lebih tinggi sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Setakat ini memang difahami Pengerusi PN tidak boleh membuat keputusan dan memuktamadkan keputusan kerana dia hanya Naib Presiden, tiada kuasa eksekutif seperti Presiden parti untuk memuktamadkan keputusan, dan perlu merujuk Presidennya yang bukan anggota MT PN dan Majlis Syura Ulama Pas sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai mekanisme membuat keputusan dalam gabungan itu serta kemungkinan berlakunya pertikaian terbuka sekiranya cadangan yang dipersetujui dalam mesyuarat tidak memenuhi kehendak pihak tertentu.
“Cadangan ini kemudiannya akan diputuskan di mana? Kalau cadangan tidak menepati kehendak pihak tertentu, apakah tindakan selepas itu? Bolehkah dibuat kenyataan terbuka mempertikai dan mem’veto’ cadangan MT PN?” katanya.
Awal hari ini, satu notis mesyuarat gabungan itu tersebar di mana satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan keanggotaan parti gabungan PN di Pejabat Agung Pas, pada malam esok.
Dalam notis mesyuarat yang ditandatangani Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 18 Jun 2026 itu, sidang berkenaan akan berlangsung berdasarkan Fasal 10 (Pemberitahuan Mesyuarat dan Agenda) dan Fasal 12 (Kekerapan Mesyuarat).
Ia akan diadakan pada 8.30 malam di Bilik Mesyuarat, Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















