Mohd Shuhaily beramah mesra dengan peserta dalam Program Lapor Diri Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Satu lagi sesi latihan akan dilaksana pada 1 Julai ini bagi membolehkan pegawai yang masih berada dalam skim perkhidmatan sedia ada bertukar kepada Skim Perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, latihan merupakan  sebahagian usaha memperkukuh struktur perkhidmatan agensi berkenaan.

Jelasnya, tawaran skim baharu yang disediakan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disifatkan sebagai antara skim terbaik pernah ditawarkan kepada penjawat awam yang dipindahkan ke AKPS.

“Skim ini merangkumi pelbagai penambahbaikan termasuk dua kenaikan tangga gaji tahunan serta tambahan RM200, selain mengekalkan kemudahan sedia ada seperti elaun kerja lebih masa dan faedah lain yang sedang dinikmati penjawat awam.

“Ini adalah satu tawaran oleh JPA sebagai antara skim terbaik yang pernah ditawarkan kepada mana-mana pegawai yang dipindahkan ke AKPS daripada agensi sedia ada seperti Imigresen, Kastam dan beberapa agensi teras lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lapor Diri Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat di sini hari ini.

Menurutnya, penambahbaikan skim tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pegawai penguat kuasa sentiasa terbela, sekali gus meningkatkan motivasi dan prestasi perkhidmatan di lapangan.

Mohd Shuhaily berkata, dengan struktur imbuhan yang lebih kompetitif, tiada alasan bagi mana-mana pegawai untuk menurunkan mutu perkhidmatan hanya kerana faktor pendapatan.

“Apabila skim ini lebih baik dan kompetitif, ia memberi ruang kepada pegawai untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada tugas tanpa menjadikan aspek pendapatan sebagai kekangan kepada mutu perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan ke dalam AKPS bukan sekadar pertukaran skim perkhidmatan, tetapi merupakan sebahagian daripada transformasi besar kerajaan dalam memperkukuh kawalan sempadan negara secara lebih bersepadu.

Menurutnya, pegawai yang memilih untuk menyertai AKPS akan menjadi sebahagian daripada barisan hadapan keselamatan negara yang bertanggungjawab menjaga pintu masuk negara daripada ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Ini adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan utama yang menjaga kedaulatan negara di barisan hadapan,” katanya.

Pelaksanaan pertukaran skim itu dijangka menjadi antara langkah penting dalam penyusunan semula tenaga kerja penguat kuasa negara secara lebih efisien dan bersepadu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast