KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 96 warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan di daerah Kota Kinabalu dan Tawau bagi mengesan pelanggaran undang-undang imigresen.
Dalam operasi di Kota Kinabalu, JIM Sabah bersama Majlis Perbandaran Penampang melaksanakan Ops Bersepadu, Ops Kutip dan Ops Sapu yang melibatkan pemeriksaan ke atas 214 individu.
Hasil operasi itu, seramai 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut kenyataan JIM Sabah, tangkapan tersebut melibatkan 16 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan warga Filipina.
“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, di Tawau, operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir telah memeriksa seramai 120 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 44 warga asing ditahan atas kesalahan yang sama di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan membabitkan 33 warga Filipina terdiri daripada 31 lelaki dewasa dan dua wanita dewasa, manakala 11 lagi merupakan warga Indonesia melibatkan enam lelaki dewasa dan lima wanita dewasa.
JIM Sabah berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” katanya. – MalaysiaGazette.
















