[Gambar fail] Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2026.

SHAH ALAM – Kes perkahwinan palsu melibatkan warga asing dengan wanita tempatan demi mendapatkan lesen perniagaan di negeri itu semakin membimbangkan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, perkara ini sudah berlaku sejak lebih 10 tahun semata-mata untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan dan terus berada di Malaysia.

Jelas beliau, taktik itu menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan kerana lesen perniagaan yang diperoleh atas nama pasangan yang merupakan warga tempatan adalah sah.

“Apabila pemeriksaan dan penguatkuasaan dijalankan mereka memberi alasan membantu isteri mereka berniaga,”  katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jadi, tambahnya, pihak berkuasa sukar bertindak kecuali mereka melanggar undang-undang.

Jelasnya, kes sedemikian dikesan berlaku di beberapa kawasan tumpuan peniaga terutama di Sungai Rasau dan Seksyen 15 Shah Alam.

Bagaimanapun Suee Lim memberi jaminan kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan jabatan imigresen dan agensi yang berkaitan untuk membanteras isu tersebut.

Ujarnya, tindakan tegas akan dikenakan kepada perniagaan yang terbukti tidak didaftarkan.

“Tidak ada lesen, kita ambil tindakan. Kita sita barang, keluarkan kompaun dan rampas peralatan perniagaan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, Kerajaan Selangor sedang melaksanakan kajian berhubung cadangan mengklasifikasi semula taman permainan kanak-kanak dalam bangunan yang kini dikategorikan di bawah lesen hiburan.

Ia susulan aduan dan keluhan daripada pemilik premis taman permainan kanak-kanak dalam bangunan yang perlu membayar kenaikan cukai duti hiburan sehingga RM6,390.

“Saya ambil maklum perkara demikian. Sekarang memang kita galakkan tempat-tempat pelancongan ini sempena Tahun Melawat Selangor 2026. Jadi kerajaan negeri akan buat kajian dan kita sedang buat kajian.

“Sebenarnya banyak perjumpaan sudah dibuat. Oleh kerana ia di bawah enakmen cukai hiburan, ia perlu dikaji secara menyeluruh. Kita dapati, unsur-unsur pendidikan itu memang ada,” tambahnya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) dilaporkan menggesa Kerajaan Selangor supaya mengkaji semula cadangan mengklasifikasikan taman permainan kanak-kanak di bawah kategori lesen hiburan.

Gesaan disuarakan selepas Selangor mengumumkan pengurangan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas panggung wayang, taman tema dan konsert selama lima tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast