SHAH ALAM – Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Kuang-PN) mencadangkan supaya jumlah pertuntukan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor digandakan.
Ia bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar khususnya dalam medepani krisis global.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak perlu bimbang untuk membelanjakan lebih banyak dana demi kebajikan rakyat kerana kedudukan kewangan Selangor masih kukuh.
“Saya mencadangkan agar semua ADUN menyokong usaha menggandakan jumlah bantuan kepada rakyat. Kenapa perlu takut untuk berbelanja sedangkan dana ada?
“Rakyat sedang menghadapi kesukaran. Semua pihak dalam dewan bersetuju bahawa rakyat sedang terbeban. Sebab itu kerajaan negeri bangkit dan tampil membantu menerusi pakej bernilai RM355 juta yang mungkin dibiayai daripada rizab negeri yang mencecah berbilion ringgit,” katanya ketika membahaskan Sidang DUN Khas hari ini.
Selain itu, Mohd Rafiq turut menegaskan, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan dan menerima cadangan penambahbaikan bantuan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan secara langsung dengan rakyat.
“Saya berharap kerajaan negeri tidak hanya mendengar pandangan pakar ekonomi semata-mata. Dengarlah juga pandangan wakil rakyat yang setiap hari berdepan dengan rakyat yang sedang mengalami kesusahan.
“Ambillah kira pandangan kami yang berada di barisan hadapan dalam mendengar dan menangani masalah rakyat,” katanya.
Jelasnya, jika cadangan dan pandangan ADUN tidak diambil kira maka kehadiran mereka ke Sidang DUN Khas yang berlangsung sejak Jumaat lalu hingga esok akan menjadi sia-sia.
“Saya ingin bertanya, untuk apa kita berada dalam dewan hari ini? Bukankah untuk mendengar cadangan dan berbahas? Namun akhirnya tiada sebarang peruntukan atau perbelanjaan yang diputuskan.
“Apa sebenarnya tujuan sidang ini? Semua pihak diberi peluang bercakap dan berhujah termasuk Exco tetapi tiada sebarang keputusan yang memerlukan undian atau kelulusan mana-mana pihak,” katanya.- MalaysiaGazette
















