Persatuan Kriket Malaysia
Persatuan Kriket Malaysia

KUALA LUMPUR – Kejayaan pasukan kriket lelaki negara menjuarai ACC Men’s Challenger Cup 2026 perlu disusuli dengan kestabilan pentadbiran bagi memastikan momentum pembangunan sukan itu tidak terganggu, kata penganalisis sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli.

Menurut beliau, pertikaian yang masih berlarutan antara Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dan bekas kepimpinannya perlu diselesaikan segera agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada pembangunan sukan serta persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa.

Katanya, kejayaan skuad negara muncul juara kejohanan berprestij itu membuktikan kriket Malaysia berada di landasan yang tepat untuk terus mencipta kemajuan di peringkat lebih tinggi.

“Kita harap ada jalan penyelesaian untuk mereka supaya pembangunan sukan kriket tak tertangguh atau melarat.

“Kalau isu ini berpanjangan tak bagus untuk sukan kriket, banyak persiapan sedang dilakukan untuk kejohanan antarabangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi dijadual membuat keputusan pada 29 Jun ini berhubung saman yang difailkan seorang pemimpin MCA terhadap bekas Presiden persatuan itu, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali serta beberapa bekas ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO).

Prosiding yang bermula sejak Oktober tahun lalu itu antaranya memohon supaya Mohammed Iqbal dan beberapa bekas pemimpin termasuk Dr. Arun Kumar serta Amarjeet Singh tidak lagi menggunakan jawatan dalam MCA susulan peletakan jawatan mereka sebelum ini.

Terdahulu, kes berkenaan yang dikendalikan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan sepatutnya didengar pada 17 April lalu sebelum ditangguhkan.

Tarikh keputusan kemudiannya ditetapkan semula pada 29 Jun selepas beberapa perubahan jadual prosiding.

Dalam perkembangan berkaitan, dua bekas Exco persatuan itu yang turut dinamakan dalam saman berkenaan, Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman Othman sebelum ini telah mengiktiraf keputusan pemilihan melalui persetujuan yang direkodkan di mahkamah pada 24 Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah kelak demi memastikan perjalanan pentadbiran persatuan itu dapat kembali stabil tanpa gangguan pertikaian berpanjangan.

“Kita harap keputusan mahkamah beri kebaikan, pertikaian ini perlu dimuktamadkan. Isu seperti ini tidak baik untuk mana-mana persatuan sukan kerana ia boleh menjejaskan pembangunan sukan itu sendiri.

“Oleh itu, keputusan mahkamah adalah penting bagi memastikan pertikaian ini ditamatkan dan semua pihak dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kriket negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast