Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai platform utama memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi risiko kemelesetan global yang berpanjangan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, strategi RMK13 tidak hanya tertumpu kepada pengurusan krisis semasa sebaliknya membina ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan terhadap kejutan luar.

“Tiga keutamaan RMK13 ialah perlindungan rakyat melalui bantuan bersasar yang mampan, memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi serta mempercepat penstrukturan semula ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

“Kerajaan akan memberi tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti semikonduktor, reka bentuk litar bersepadu (IC), ekonomi digital, tenaga baharu dan teknologi hijau,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (Betong-GPS) meminta Menteri Ekonomi menyatakan penilaian impak ekonomi terkini akibat gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan.

Akmal berkata, empat syarikat tempatan telah diberikan akses token bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor yang direka bentuk di Malaysia.

“Langkah memperkukuh pengeluaran domestik, mempelbagai sumber import dan memperluas jaringan perdagangan antarabangsa akan menjadi antara strategi utama.

“Ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan global yang terdedah kepada risiko geopolitik.

Katanya lagi, fokus kerajaan untuk memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi sebarang gangguan global pada masa hadapan.

“Dalam masa sama kerajaan akan terus mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast