KUALA LUMPUR – MCA menggesa mangsa sindiket pinjaman wang palsu yang menggunakan taktik seperti ahlong supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan polis terhadap kegiatan jenayah berkenaan.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima banyak aduan melibatkan sindiket penipuan yang menggunakan ugutan, khianat dan serangan terhadap mangsa.

“Kami menerima beberapa kes melibatkan rumah dibakar dan diserang. Mereka menggunakan runner yang dibayar untuk melakukan perbuatan tersebut manakala mengenakan caj tambahan kepada peminjam bagi menampung kos serangan yang dilakukan mereka sendiri.
“Justeru, kami menggesa mangsa yang berdepan situasi sama supaya tampil membuat laporan kepada MCA dan polis. Maklumat yang dikumpulkan akan membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Michael berkata, MCA telah mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi membincangkan kes berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, polis turut mengakui trend penipuan menggunakan taktik ahlong semakin membimbangkan dan semakin ramai golongan muda menjadi mangsa.

Beliau berkata, MCA akan membantu mengumpulkan maklumat daripada mereka yang belum tampil membuat laporan.
“Kami mahu lebih ramai mangsa tampil ke MCA dan menyalurkan maklumat. Dengan lebih banyak kes dikumpulkan, kami dapat membantu polis mendapatkan gambaran sebenar mengenai skala jenayah ini serta memperkukuhkan siasatan terhadap sindiket yang terlibat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memberikan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali secara dalam talian dan hanya berurusan dengan institusi kewangan atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen.
Media sebelum ini melaporkan, sehingga Jun tahun ini, biro berkenaan menerima 159 aduan membabitkan pinjaman hampir RM16 juta daripada 1,679 along di seluruh negara, sekali gus menunjukkan kegiatan pinjaman wang haram masih berada pada tahap membimbangkan.

Dalam satu kes yang dikendalikan biro itu, seorang lelaki berusia 29 tahun mendakwa bukan sahaja gagal melunaskan hutang akibat kadar faedah yang terlalu tinggi malah turut dipaksa membayar caj tambahan selepas rumahnya disimbah cat merah pada Mei lalu. – MalaysiaGazette
















