Muhammad Faizzuddin Mohd Zai.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor didesak supaya tidak berlengah dan segera mengambil tindakan tegas mengharamkan penjualan produk rokok elektronik (vape) di negeri itu.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, desakan itu susulan kebimbangan yang semakin meruncing berhubung trend terbaharu penyalahgunaan cecair vape yang kini dijadikan medium untuk mengedar dan menagih dadah sintetik jenis New Psychoactive Substances (NPS).

Menurutnya, pendedahan dan amaran keras yang disuarakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini membuktikan isu vape bukan lagi sekadar isu kesihatan awam biasa, sebaliknya telah bertukar menjadi ancaman keselamatan yang serius.

“Taktik licik mencampurkan bahan narkotik ke dalam cecair vape kini secara terang-terangan menyasarkan golongan remaja dan belia di negara ini.

“Kami amat kecewa dengan alasan demi alasan serta kegagalan Kerajaan Selangor untuk mengambil langkah lebih segera dan tegas bagi mengawal atau menyekat penjualan vape di negeri ini, sedangkan pelbagai pihak telah menyuarakan kebimbangan sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Selangor sepatutnya mencontohi langkah proaktif beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Perlis, Johor dan Pahang yang telah menyekat serta mengharamkan penjualan vape menerusi kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tindakan itu membuktikan kawalan dari sudut pentadbiran sebenarnya boleh dilaksanakan jika kerajaan negeri mempunyai ‘iltizam politik’ yang ikhlas demi melindungi rakyat.

“Kerajaan Selangor yang sering dibangga-banggakan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah negeri maju tidak seharusnya melewat-lewatkan inisiatif mengharamkan vape,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya mahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri agar mengetepikan sebarang pertimbangan politik atau ekonomi sebaliknya bertindak lebih berani demi masa depan generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast