Datuk Seri Amirudin ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PH di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir, Tangkak malam ini.

TANGKAK – Johor menjadi lebih baik dan maju sekiranya rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengarah Jentera PRN Johor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH datang memberi tawaran lebih baik dan berazam menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih maju serta bersinar.

Tegas beliau, PH tidak datang ke Johor untuk mengaggu atau merosakkan kestabilan negeri.

Tambahnya, Johor sudah mencapai pelbagai kejayaan sebelum ini namun masih mempunyai ruang besar untuk diperkasakan terutama dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan seimbang di seluruh daerah.

“Kita ingin mentadbir Johor dengan lebih baik. Kita bukan datang hendak mengacau atau mengganggu, tetapi kita datang untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih bersinar walaupun negeri ini sudah mencapai prestasi yang baik sebelum ini.

“Saya yakin jika diberikan amanah dan kepimpinan kepada PH, kita mampu meningkatkan lagi nilai ekonomi Johor,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PH di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Amirudin berkata, Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sama seperti Selangor dan berpotensi menjadi antara negeri paling maju di negara ini.

Beliau berkata, antara fokus utama PH adalah memastikan rakyat Johor memperoleh peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik sehingga tidak perlu bergantung kepada pekerjaan di Singapura untuk mencari rezeki.

“Anak Johor tidak perlu ke Tambak Johor setiap hari untuk mencari rezeki. Kita akan pastikan lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan dalam negeri ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan pembangunan tidak seharusnya tertumpu di Johor Bahru semata-mata, sebaliknya daerah lain seperti Mersing, Kota Tinggi dan kawasan luar bandar perlu menerima perhatian serta pembangunan yang adil.

“Kita mahu memastikan daerah-daerah lain turut maju dan mendapat keadilan daripada segi infrastruktur serta pembangunan sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas tema kempen PH bagi menghadapi PRN Johor, Amirudin berkata, gabungan itu membawa slogan Johor Kedepan Undi Harapan yang menekankan agenda gaji lebih baik, peluang ekonomi lebih luas dan keadilan yang lebih menyeluruh untuk rakyat negeri itu.

“Kita sudah buktikan keupayaan melalui prestasi menteri-menteri PH di peringkat Persekutuan. Jika diberikan peluang pada PRN nanti, kita akan mentadbir Johor dengan lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast