KUALA LUMPUR – Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurhidayah Che Rose membidas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya berhenti menyebarkan naratif yang didakwa boleh meracuni pemikiran anak muda dengan menggambarkan seolah-olah sistem negara berada dalam keadaan rosak.
Beliau berkata, Rafizi sepatutnya tampil menjelaskan rekod pencapaiannya ketika berada dalam kerajaan, khususnya berkaitan usaha memperkasakan golongan muda, berbanding terus memainkan sentimen kekecewaan untuk meraih sokongan politik.
“Oleh kerana ingin mendapat undi dan sokongan anak muda menjelang PRU-16 dengan `memperkudakan’ anak-anak muda mentah yang teruja melihat perjuangan palsu, Rafizi Ramli cuba memutar-belitkan fakta dengan mendakwa sistem telah rosak.
“Padahal, semua kami anak muda di PKR tahu bahawa Rafizi Ramli semasa berada dalam PKR juga memberikan banyak harapan palsu kepada anak muda seperti gaji minimum dan harga kereta Myvi lebih murah, selain mengajar kami politik fitnah dan adu domba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam Podcast YBM Episod 52, Rafizi mendakwa generasi muda yang mempersoalkan masa depan mereka bukan petanda golongan itu bermasalah, sebaliknya mencerminkan kerosakan yang berlaku dalam sistem semasa.
Menurut Rafizi, ramai terlalu cepat melabel anak muda sebagai malas, manja dan tidak berdaya saing, sedangkan realitinya semakin ramai yang bekerja keras namun masih gagal meningkatkan taraf hidup mereka.
Mengulas dakwaan itu, Nurhidayah berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan bahawa keresahan generasi muda hari ini boleh dijadikan bukti bahawa sistem negara telah gagal berfungsi.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan sumbangan sebenar Rafizi terhadap pembangunan ekonomi anak muda ketika memegang jawatan penting dalam kerajaan.
“Sebagai anak muda, saya tidak bersetuju dengan dakwaan Rafizi bahawa generasi muda yang mempersoalkan masa depan mereka merupakan bukti bahawa sistem negara telah rosak.
“Sekiranya beliau benar-benar prihatin terhadap nasib anak muda, rakyat berhak mengetahui apakah inisiatif dan program ekonomi yang telah diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan, memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh kedudukan ekonomi golongan muda,” katanya.
Menurut Nurhidayah, apa yang diperlukan oleh golongan muda ketika ini bukan retorik politik atau naratif pesimis mengenai keadaan negara, sebaliknya penyelesaian konkrit yang mampu membuka lebih banyak peluang untuk masa depan mereka.
“Lebih penting, apakah hasil dan impak yang telah berjaya dicapai melalui usaha-usaha tersebut?
“Anak muda tidak memerlukan naratif yang menggambarkan sistem sebagai telah rosak. Sebaliknya, kami memerlukan penyelesaian yang praktikal, peluang yang lebih luas serta dasar yang berkesan untuk menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana pemimpin perlu dinilai berdasarkan rekod pencapaian, keberkesanan dasar dan hasil yang dibawa kepada rakyat, bukannya sekadar bergantung kepada retorik politik yang tidak menawarkan penyelesaian sebenar kepada masalah dihadapi generasi muda. – MalaysiaGazette
















