Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara bagi tahun 2026 - 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat sebagai langkah memperkukuh kerangka perundangan negara menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan canggih.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) yang dilihat perlu diperkemas bagi memenuhi keperluan semasa serta obligasi antarabangsa Malaysia dalam menangani jenayah siber rentas sempadan.

Menurut beliau, bacaan kedua dan ketiga RUU tersebut dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Julai depan.

“RUU Jenayah Siber 2026 dihasratkan untuk memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997.cIa bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Jenayah Siber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, undang-undang baharu itu akan memperuntukkan kuasa kawal selia serta penguatkuasaan berkaitan jenayah siber yang akan dikendalikan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, landskap ancaman siber ketika ini tidak lagi terhad kepada pencerobohan sistem komputer dan kecurian data semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk jenayah digital yang semakin sofistikated.

“Ancaman jenayah siber kini turut melibatkan kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi digital, serangan perisian tebusan atau ransomware serta penyalahgunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, penggubalan RUU tersebut amat penting bagi memastikan negara mempunyai instrumen perundangan lebih berkesan untuk mencegah dan memerangi jenayah siber yang semakin berkembang seiring kemajuan teknologi.

“RUU Jenayah Siber 2026 mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal yang dirangka khusus untuk memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi ancaman keselamatan siber yang semakin mencabar,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, penggubalan undang-undang baharu itu sebahagian daripada usaha kerajaan membina ekosistem keselamatan siber lebih kukuh demi menjamin persekitaran digital selamat, terpelihara dan diyakini rakyat serta pelaku industri.

“Melalui kerangka perundangan yang lebih mampan nanti, ia bukan sahaja akan melindungi rakyat secara tuntas, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

“Malah perundangan baharu ini bakal menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast