SHAH ALAM – Seramai 7,387 pesawah di Selangor bakal menerima bantuan tunai sebanyak RM500 bagi setiap hektar tanah sawah yang dimiliki dalam masa terdekat.
Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, untuk fasa pertama seramai 7,387 pesawah akan mendapat bantuan langsung dan bantuan ini akan dikreditkan secara terus ke akaun Agrobank penerima.
“Selagi memiliki tanah sawah, satu hektar mereka akan mendapat RM500, jadi kalau 10 hektar mereka akan dapat RM5,000.
“Kini, dalam proses akhir dan pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat untuk pesawah untuk memastikan mengurangkan beban susulan kenaikan harga bahan bakar bagi jentera-jentera dalam urusan sawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu ujarnya, senarai penerima yang layak ditentukan menerusi proses tapisan yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Beliau berkata, kerajaan negeri itu turut menambah peruntukan sebanyak RM6 juta untuk 742 nelayan sebagai penerima bantuan kategori C1.
Peruntukan ini jumlah keseluruhan sebanyak RM8.5 juta untuk pesawah RM8.5 juta manakala nelayan pula sejumlah RM3.92 juta.
“Mereka ini telah menerima subsidi, tetapi dibimbangi tidak mencukupi keperluan minyak, jadi kita tambah lagi RM300, dengan menjadikan keseluruhan RM1,800 untuk enam bulan pada setiap nelayan,” katanya lagi.
Bantuan untuk pesawah ini merupakan inisiatif kerajaan negeri di bawah Pakej Daya Tahan Selangor 2026. – MalaysiaGazette
















