KUALA LUMPUR – DAP didakwa mula menyingkirkan rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (Amanah) selepas rakan sekutunya itu dilihat gagal dan tidak lagi mampu memikat hati serta menarik sokongan pengundi Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, kegagalan itu memaksa DAP menukar strategi politik mereka dengan menampilkan calon-calon daripada kalangan orang Melayu sendiri sebagai ‘muka depan’ demi meraih undi.
“Tapi saya lihat strategi terbaharu itu akhirnya akan memakan diri dan bercanggah dengan matlamat politik DAP. Jangan lupa DAP ini dia parti elit, ahli mereka sekitar 30,000 atau 40,000 orang sahaja tapi konon-konon dia banyak penyokong daripada rakyat kerana mereka suka main sentimen.
“Paling utama, DAP ini suka menggunakan taktik perkauman juga,” katanya menerusi program SKOP MG dengan tajuk PRN Johor: Medan Eksperimen Kuasa?.
Nur Jazlan yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara berkata, kemelut yang melanda penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Skudai, Marina Ibrahim dilihat sebagai contoh nyata bagaimana taktik politik DAP beroperasi.
“Isu perpindahan Marina membuktikan parti itu sekadar mempergunakan figura Melayu untuk memenangi kerusi, tanpa ada niat ikhlas untuk memberikan perkhidmatan jangka panjang kepada komuniti setempat.
“Ini bukan saya cakap, Marina sendiri cakap dia sebagai seorang wakil rakyat yang membuat kerja di lapangan tapi DAP lepas letakkan dia di Skudai untuk satu penggal, nak pindahkan dia ke tempat lain pula.
“Habis semua sumbangan dia di Skudai tu, dia akan tinggalkan Skudai.
“Jadi maknanya, dia sendiri telah mengakui DAP ni merupakan parti yang menggunakan taktik-taktik sebegini menipu rakyat untuk memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, tindakan Marina yang ‘meletupkan’ isu dalaman itu secara tidak langsung membuka mata ramai pihak mengenai agenda sebenar yang dibawa oleh kepimpinan DAP.
“Saya ulang sekali lagi, DAP gunakan Amanah untuk tarik sokongan orang Melayu, bila Amanah dah tak laku DAP letak pula calon Melayu.

“Sekarang bila Marina dah ‘bom’ begitu, strategi ini pula orang sudah mula nampak yang mana mereka mempergunakan orang Melayu untuk tujuan memenangi kerusi tapi dengan tidak ada niat untuk memberikan perkhidmatan pada penduduk setempat selepas menang kerusi tersebut,” jelasnya.
DUN Skudai merupakan antara kubu kuat DAP di Johor yang majoritinya diwakili oleh pengundi bukan Melayu namun tindakan meletakkan calon Melayu sebelum ini dilihat sebagai langkah serampang dua mata untuk memperluaskan pengaruh parti itu.
Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, DAP meletakkan 17 calon manakala Amanah dengan 19 calon.
Pengumuman dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu acara di Tangkak baru-baru ini. – MalaysiaGazette
















