Gambar hiasan

FENOMENA El Nino yang dijangka berlaku pada tahun 2026 kembali mencetuskan kebimbangan terhadap sektor pertanian negara, khususnya industri kelapa sawit yang menjadi antara tunjang ekonomi Malaysia. Baru-baru ini, National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) dari Amerika Syarikat dan World Meteorological Organization (WMO) telah mengesahkan perkembangan fenomena El Niño berdasarkan pemantauan suhu permukaan laut global serta perubahan corak atmosfera dunia. Pengesahan ini memberi amaran awal kepada negara-negara yang bergantung kepada sektor pertanian agar meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan cuaca lebih panas dan kering daripada kebiasaan.

Dari sudut komunikasi saintifik, penggunaan frasa "NOAA dan WMO telah mengesahkan perkembangan fenomena El Niño" adalah lebih tepat berbanding istilah ‘mengisytiharkan’. Frasa ini menjelaskan badan meteorologi antarabangsa telah mengenal pasti petunjuk perkembangan El Nino melalui analisis data iklim semasa, namun ia tidak
semestinya bermaksud Malaysia akan mengalami episod El Niño yang kuat atau impak yang sama seperti kejadian terdahulu. Kesan sebenar terhadap negara bergantung kepada kekuatan fenomena tersebut, tempohnya serta interaksi dengan faktor iklim serantau yang lain.

El Nino merupakan fenomena iklim semula jadi yang berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik tropika meningkat melebihi paras normal. Keadaan ini mengubah corak peredaran atmosfera dunia dan lazimnya menyebabkan beberapa kawasan mengalami hujan berlebihan, manakala rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia berdepan dengan pengurangan taburan hujan serta peningkatan suhu. Episod El Niño pada tahun 1997–1998 dan 2015–2016 telah menunjukkan bagaimana fenomena ini memberi kesan kepada sektor pertanian, bekalan air, kesihatan awam dan ekonomi negara.

Bagi industri kelapa sawit, impak El Nino sering berlaku secara tertangguh. Pokok kelapa sawit mempunyai kitaran pembentukan bunga dan tandan buah yang panjang, menyebabkan kesan tekanan cuaca hanya dapat dilihat selepas enam hingga dua puluh empat bulan. Kekurangan air menyebabkan stomata daun tertutup untuk mengurangkan kehilangan air melalui transpirasi. Walau bagaimanapun, keadaan ini turut mengurangkan kadar fotosintesis dan seterusnya menjejaskan penghasilan bahan makanan yang diperlukan untuk pembentukan tandan buah.

Akibatnya, pengeluar sawit mungkin berdepan dengan pengurangan bilangan tandan buah dan penurunan berat purata tandan. Kajian menunjukkan bahawa kemarau berpanjangan boleh menyebabkan penurunan hasil tandan buah segar antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada tempoh tekanan air, umur pokok dan tahap pengurusan ladang. Pokok muda lazimnya lebih terdedah kerana sistem perakarannya masih belum berkembang sepenuhnya.

Selain itu, peningkatan suhu turut meningkatkan kadar sejatan dan keperluan air tanaman. Di kawasan tanah mineral, tekanan air boleh berlaku dengan lebih cepat akibat kapasiti pegangan air yang lebih rendah. Bagi kawasan tanah gambut, paras air tanah yang terlalu rendah boleh meningkatkan risiko kebakaran gambut serta pelepasan karbon ke atmosfera.

Walaupun El Nino membawa cabaran besar, industri kelapa sawit tidak seharusnya hanya bersikap reaktif. Langkah adaptasi perlu dilaksanakan lebih awal bagi meningkatkan daya tahan ladang terhadap perubahan iklim. Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan mengamalkan amalan agronomi yang baik (GAP) dan meningkatkan amalan pemuliharaan kelembapan seperti pengurusan air yang cekap, penggunaan pelepah dan tandan kosong sebagai sungkupan untuk mengekalkan kelembapan tanah, pengukuhan tanaman penutup bumi, pembajaan berdasarkan analisis tanah dan daun, serta penggunaan teknologi pertanian pintar seperti sistem ramalan cuaca, penderiaan jauh dan pemantauan kelembapan tanah secara masa nyata.

Saya berpandangan fenomena El Niño perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuhkan amalan pertanian berdaya tahan iklim. Pengalaman Malaysia menghadapi El Niño sebelum ini menunjukkan bahawa persediaan awal jauh lebih berkesan berbanding tindakan selepas impak berlaku.

Pengurusan air yang cekap perlu dijadikan keutamaan, khususnya di kawasan tanah gambut melalui penyelenggaraan sistem saliran dan kawalan paras air yang optimum. Di samping itu, pemuliharaan kelembapan tanah, penggunaan data ramalan cuaca dalam perancangan operasi ladang serta pengukuhan sistem amaran awal perlu dijadikan amalan rutin bagi memastikan produktiviti sawit terus terpelihara walaupun berdepan ketidaktentuan iklim.

Universiti, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan pemain industri juga perlu memperkukuhkan kerjasama dalam membangunkan teknologi, sistem sokongan keputusan dan varieti yang lebih toleran terhadap tekanan kekeringan. Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan industri kelapa sawit negara terus berdaya saing dan mampan.

Fenomena El Nino 2026 harus dilihat sebagai satu peringatan bahawa perubahan iklim bukan lagi ancaman masa hadapan, sebaliknya realiti yang sedang dihadapi. Dengan persediaan awal, tindakan proaktif dan pengurusan berasaskan sains, impak El Nino dapat diminimumkan. Keupayaan kita menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan iklim akan menentukan daya tahan industri kelapa sawit Malaysia pada masa hadapan demi menjamin kesejahteraan pekebun, kestabilan ekonomi negara dan kelestarian sumber semula jadi.

Oleh: Dr. Mohd Hadi Akbar Basri
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Tanaman
Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast