KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,850 liter minyak disyaki petrol dirampas menerusi dua kes berasingan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 yang dijalankan di kawasan perkampungan atas air Kampung Mesra semalam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna memaklumkan rampasan itu adalah hasil serahan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di kawasan berkenaan.
Menurut KPDN, kes pertama melibatkan rampasan sebanyak 4,350 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 174 jerikin berkapasiti 25 liter.
Turut disita dalam operasi itu ialah dua bot kayu berwarna kelabu, sebuah enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP) dan dua enjin sangkut Yamaha 85HP.
“Bagi kes kedua pula, sebanyak 2,500 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 100 jerikin berkapasiti 25 liter telah dirampas.
“Kedua-dua kes merupakan rampasan tanpa tuan dan tiada tangkapan dibuat semasa operasi dijalankan,” menurut kenyataan hari ini.
KPDN berkata, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM25,482 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin yang disita dianggarkan RM52,482.
Susulan rampasan tersebut, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tujuan siasatan lanjut.
“KPDN akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya,” katanya.
Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Bagi individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – MalaysiaGazette
















