Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor optimis tidak memerlukan peruntukan tambahan bagi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan untuk membantu rakyat berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri itu sedia membuat tambahan jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, keperluan tersebut akan dinilai semula menjelang pembentangan belanjawan pada hujung tahun berdasarkan prestasi hasil negeri serta keperluan pelaksanaan program pada fasa seterusnya.

“Kita bersedia membuat perbelanjaan tambahan, tetapi pada waktu ini sehingga penghujung Ogos nanti, kita yakin tidak memerlukan perbelanjaan tambahan.

“Malah, mengikut unjuran semasa, kemungkinan keperluan itu hanya akan ditentukan menjelang pembentangan belanjawan, bergantung kepada sama ada hasil negeri mencukupi atau terdapat kekurangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas, hari ini.

Sidang DUN Khas itu berlangsung selama tiga hari bagi memberi peluang kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membincangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan oleh Menteri Besar pada Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian berikutan ADUN Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah (PN) mencadangkan supaya jumlah pertuntukan pakej itu digandakan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kedudukan kewangan Selangor yang diperkukuhkan menerusi penyusunan semula perbelanjaan membolehkan pakej tersebut diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak RM355.06 juta.

“Rizab yang kita ada akan digunakan apabila terdapat keperluan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri melaksanakan penjimatan perbelanjaan pengurusan sebanyak lima peratus sebagai langkah membolehkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dilaksanakan.

Jelasnya, penjimatan tersebut tertumpu kepada perbelanjaan keraian dan aktiviti tertentu yang tidak memberi impak langsung kepada rakyat.

“Yang kita kurangkan dalam perbelanjaan pengurusan adalah hal-hal keraian melibatkan lawatan-lawatan.

“Tahun ini pun kerajaan negeri tidak melaksanakan retreat. Biasanya saban tahun Exco kerajaan negeri mengadakan retreat, sama ada di luar negeri atau luar negara. Itu kita kurangkan dan ia turut terpakai di pejabat-pejabat kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast