GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah selepas menahan pasangan kekasih serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.7 juta menerusi serbuan di Butterworth dekat sini, pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan bermula jam 2.25 petang dengan penahanan suspek lelaki berusia 35 tahun di kawasan parkir kereta sebuah kondominium sebelum polis menemukan kira-kira 211 gram (g) dadah jenis metilenedioksimetamfetamina (MDMA) di dalam sebuah kereta.
Katanya, hasil pandu arah oleh suspek membawa polis ke sebuah kondominium sebelum menahan suspek wanita yang dipercayai rakan sejenayah, berusia 40 tahun dan menemukan pelbagai jenis dadah di dalam bilik kediaman tersebut.
“Polis kemudian merampas 1,212 paket plastik pelbagai warna berisi serbuk dadah disyaki MDMA seberat kira-kira 54.8 kilogram (kg), enam bekas plastik berisi dadah MDMA seberat hampir 15 kg serta 57 paket plastik serbuk MDMA seberat 433.6 gram (g).

“Selain itu, 89 paket plastik lutsinar berisi dadah ketamin seberat 3.1 kg, 700 biji pil Erimin 5, 1,630 biji pil ekstasi dan 76 paket plastik kartrij vape berisi cecair syabu.
“Secara keseluruhan polis menyita wang tunai RM2,300 bersama dadah bernilai RM9.7 juta untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dennis Lim berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek ini menjadikan kediaman sewa itu sebagai tempat memproses dan membungkus pelbagai jenis dadah.
“Semakan juga mendapati mereka aktif dalam kegiatan haram ini sejak Januari lalu dan kesemua dadah yang dirampas itu untuk pasaran tempatan termasuk di kelab malam.
“Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama seminggu sehingga 26 Jun bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















