Sharon Teo

KUALA LUMPUR – Pemilihan Sharon Teo sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas membuktikan komitmen berterusan gabungan itu dalam memperkasa kepimpinan wanita muda yang berwibawa, berpotensi dan dekat dengan rakyat.

Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kenyataan berkata,  Sharon atau Teo Siew Hui merupakan antara pemimpin muda parti itu yang aktif dalam arena politik serta khidmat masyarakat di Johor.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan menerusi peranannya sebagai pegawai kepada beberapa pemimpin kerajaan dan wakil rakyat.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Media dan Pegawai Khas kepada menteri serta Ahli Parlimen Pulai, sekali gus memberikan pendedahan mendalam terhadap urusan pentadbiran, dasar awam dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

“Di dalam parti, Sharon pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha AMANAH Johor sebelum dipilih sebagai Ketua Wanita Amanah Negara (Warda) Johor pada tahun 2023.

“Pada tahun sama, beliau turut diberi kepercayaan memegang jawatan Naib Ketua Warda Nasional, membuktikan kemampuannya sebagai antara pelapis kepimpinan wanita muda yang semakin menyerlah dalam PH,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, tidak hanya aktif dalam politik, Sharon juga terlibat secara konsisten dalam pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat menerusi penglibatannya bersama Persatuan Kebajikan Pulai.

“Pencalonan beliau di DUN Permas bukan sekadar menampilkan wajah baharu dalam politik negeri, malah mencerminkan hasrat PH untuk membawa pendekatan politik yang lebih progresif, inklusif dan berteraskan khidmat kepada rakyat,” kata Amanah.

Jelas kenyataan itu, Sharon dilihat mewakili generasi pemimpin baharu yang memahami cabaran semasa masyarakat, khususnya berkaitan kos sara hidup, peluang ekonomi dan pembangunan komuniti.

“PH yakin pengalaman, komitmen serta semangat perjuangan yang dimiliki Sharon Teo mampu menjadikan beliau seorang wakil rakyat yang berkesan dalam membawa suara masyarakat Permas, selain memperkukuhkan agenda pembangunan Johor ke arah negeri yang lebih maju dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast