Gan Lee Chiu

KLUANG – Pertembungan tiga penjuru dijangka berlaku bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Antara yang sudah mengesahkan akan bertanding adalah calon Pakatan Harapan (PH), Chu Poh Yee selain calon Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi daripada Bersekutu Bersatu Johor.

Ketua MCA Kluang, Gan Lee Chiu berkata, melihat ketiga-tiga calon itu, pihaknya percaya calon BN mempunyai kelebihan kerana sudah berkhidmat kepada masyarakat setempat melalui jawatannya sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Kata beliau, pengalamannya sebagai ahli parti sejak 16 tahun lalu juga dilihat banyak memberikan kelebihan terutama mempunyai cara dan pendekatan berdamping serta memahami masalah yang tidak hanya untuk satu kaum.

Pihaknya bukan berniat untuk memperkecilkan calon lawan namun perlu dilihat kemampuan setiap calon untuk bekerja membantu rakyat setempat hasil daripada pengalaman mereka berkhidmat.

“MCA secara amnya sudah bersama-sama rakyat di Kluang walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan penting dalam kerajaan, untuk itu kami tidak gentar dengan persaingan dalam PRN Johor ini.

“Mereka letak calon muda, kami pun ada calon muda juga, apa yang penting di sini adalah pengalaman mereka dalam bekerja untuk rakyat,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, bandar Kluang khususnya di kawasan Mengkibol sudah membangun dengan pesat hasil perancangan kepimpinan terdahulu daripada BN dan sudah pun dinikmati rakyat.

“Apa yang perlu dilakukan masa kini adalah menokok tambah sedikit kelompongan akibat kegagalan kepimpinan kawasan DUN Mengkibol sebelum ini untuk membawanya masuk ke kawasan ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast