Syed Hussein memberikan Kuih Chang kepada penghuni Rumah Orang-Orang Tua di Jalan Haji Manan, di Kluang hari ini.

KLUANG – Sentimen kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor benci terhadap Cina tidak benar malah mereka tetap disantuni sama seperti Bangsa Johor yang lain.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, sentimen itu dimainkan berdasarkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ya tidak mahu duduk semeja dengan DAP.

Jelasnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang sedangkan maksud Onn Hafiz bukan begitu apatah lagi diputar belit dikatakan membenci orang Cina.

“Mendekati serta menyantuni tanpa mengira usia adalah sebahagian daripada bukti kerajaan BN tidak pernah meminggirkan masyarakat Cina di Kluang.

“Dakwaan kerajaan pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi membenci orang Cina hanya kerana tidak mahu bersama-sama DAP dalam mentadbir negeri Johor adalah tidak berasas sama sekali dan ia terlalu jauh daripada keadaan sebenarnya,” katanya selepas mengedarkan Kuih Chang di Rumah Orang-Orang Tua di Jalan Haji Manan di sini hari ini.

Katanya, sebagai pemimpin diperingkat bawahan, pihaknya sentiasa diingatkan oleh Onn Hafiz agar tidak sesekali meminggirkan mana-mana kaum dalam negeri ini dalam apa juga aktiviti kebajikan penduduk setempat.

Beliau yang fasih Bahasa Mandarin banyak memudahkannya untuk memahami setiap masalah penduduk dan mereka juga mudah menerima penjelasan atau apa juga tindakan yang akan dilakukan.

“Secara hakikatnya mereka yang membawa sentimen kerajaan BN Johor benci kepada masyarakat Cina adalah kerana mereka tidak melihat realiti sebenar kehidupan rakyat di negeri ini.

“Sebutlah apa juga bantuan yang diberikan kerajaan Johor, tiada satu pun ia meminggirkan mana-mana kaum samada Melayu, Cina, India termasuk golongan Orang Asli di negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengharapkan sentimen seperti ini tidak terus dimainkan lagi kerana mampu merosakkan perpaduan kaum yang sudah terbina sejak sekian lama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast