KUALA LUMPUR – Kegiatan penyelewengan minyak diesel yang dipercayai beroperasi di sebuah premis perindustrian di Senadin terbongkar selepas diserbu polis bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira pukul 10 pagi kelmarin itu dilakukan di sebuah premis di Lot 7827, Senadin Enterprise Park Fasa 9, Desa Senadin Industrial Land selepas pihak berkuasa menerima maklumat dan risikan berhubung aktiviti berkenaan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan dua lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 49 tahun yang sedang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel di lokasi tersebut.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel yang dibeli daripada pemandu kenderaan berat di sekitar Miri sebelum dipindahkan ke dalam tangki simpanan (skid tank) di premis itu.
“Minyak diesel berkenaan kemudian dipercayai dijual kepada pembeli dalam kalangan pemain industri di sekitar Bahagian Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 5,250 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 5,000 liter, sebuah skid tank berkapasiti 10,000 liter serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM94,787.50,” katanya.
Mohd Farhan berkata, pemilik premis mempunyai permit yang dikeluarkan KPDN bagi membeli dan menggunakan diesel tidak bersubsidi dengan had simpanan sehingga 10,000 liter.
Bagaimanapun, permit itu dipercayai telah disalahgunakan bagi tujuan penyelewengan.
“Kes telah diserahkan kepada pegawai KPDN Cawangan Miri untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kegiatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak bersekongkol dengan sindiket penyelewengan bahan api dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada polis atau KPDN bagi membanteras kegiatan tersebut.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel dapat dibendung demi kepentingan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















