ALOR GAJAH – Perdana Menteri mengakui usaha membersihkan negara daripada amalan rasuah dan budaya komisen berdepan cabaran besar termasuk tentangan daripada kelompok yang sudah lama selesa dengan sistem tersebut.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rintangan terhadap perubahan tidak hanya datang daripada masyarakat di peringkat bawahan, malah turut melibatkan golongan elit, penguasa dan pembesar yang telah terbiasa dengan amalan tidak sihat itu.
Menurut beliau, fenomena resistance to change atau keengganan menerima perubahan berlaku apabila kerajaan mengambil tindakan terhadap amalan rasuah dan berusaha meningkatkan prestasi perkhidmatan awam.
“Ambil tindakan rasuah, mengamuk; nak bersihkan negara, bangkang; nak minta orang kerja dengan lebih baik ada protes.
“Protes nak bawa ketua jabatan yang nampak lebih cekal, lebih tegas, kena sailang. Ini yang disebut resistance to change,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CReATE), di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tanggapan bahawa penentangan terhadap perubahan hanya berlaku dalam kalangan masyarakat luar bandar atau mereka yang kurang pendidikan adalah tidak tepat.
“Apakah resistance atau keengganan, bantahan terhadap langkah perubahan itu hanya berlaku di desa? Ada juga orang faham begitu.
“Resistance to change ini orang kampung ke, tradisional, orang kolot? Tak betul. Itu kerana tidak ada pendedahan.
“Kadang-kadang di kalangan elit pun, orang dah biasa. Penguasa, pembesar-pembesar biasa dengan amalan rasuah dan komisen. Dia tak mahu perubahan,” katanya.
Menurut beliau, budaya menolak perubahan itu perlu dipatahkan jika negara mahu terus maju dan dihormati.
Anwar berkata, kejayaan reformasi pentadbiran memerlukan keberanian politik serta sokongan rakyat bagi memastikan negara dapat dibangunkan berasaskan integriti dan tatakelola yang baik.
Perdana Menteri mahu membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu mentadbir negara dengan bersih serta meningkatkan keupayaan negara sehingga menjadi contoh kepada dunia. – MalaysiaGazette
















