Gambar kiriman orang awam.

KUANTAN – Pihak berwajib digesa mencari penyelesaian segera susulan isu gangguan lalat luar biasa yang menjejaskan kualiti hidup penduduk di Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Bukit Kening, Chenor di Maran.

Menurut salah seorang penduduk, Zulkifli Yusuf, 59, ia dipercayai berpunca daripada aktiviti ternakan ayam daging berhampiran kawasan penempatan penduduk.

Dia yang membuka perniagaan kedai makan di kawasan itu meluahkan kekesalannya kerana isu berkenaan masih tidak diselesaikan meskipun sudah berlarutan sejak bertahun lamanya.

“Macam saya berniaga di warung, kalau meja tidak dilap dengan air sabun, memang cepat dipenuhi lalat. Atas meja, tempat letak makanan dan kawasan warung semuanya perlu sentiasa dibersihkan dan bertutup.

“Kalau pasang pelekat lalat pula, kadang-kadang tidak sampai dua minit sudah penuh dan terpaksa diganti dengan yang lain,” katanya ketika dihubungi.

Zulkifli yang sudah berniaga lebih sedekad lalu memberitahu, penggunaan pelekat lalat menjadi rutin harian sehingga terpaksa menggunakan lebih 10 keping sehari bagi mengurangkan gangguan serangga berkenaan.

Namun, keadaan itu tetap memberi kesan kepada imej perniagaannya kerana pelanggan yang tidak mengetahui situasi sebenar mungkin menyangka premis makanan tersebut tidak bersih.

“Kalau orang kampung ini mereka sudah tahu, tapi orang luar yang datang mungkin fikir kedai kotor, sedangkan masalah ini bukan berlaku di warung saya sahaja,” katanya lagi.

Dia memaklumkan gangguan sama dikatakan turut dirasai penduduk di Kampung Huma Luas dan kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara yang terletak berhampiran lokasi ternakan ayam.

Jelasnya, jarak sekolah berkenaan dengan kawasan ternakan terbabit dianggarkan hanya kira-kira 300 meter.

Justeru, dia berharap pihak-pihak berkaitan dapat menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak memaklumkan menerima aduan penduduk di RPSB Bukit Kening dan difahamkan turut terkesan Kampung Huma Luas, SK Sekara dan beberapa kawasan sekitarnya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, isu tersebut melibatkan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat setempat serta memerlukan perhatian daripada agensi berkaitan.

“Saya akan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Majlis Daerah Maran (MDM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkaitan bagi menjalankan siasatan serta mencari penyelesaian terbaik.

“Saya juga akan menghantar surat kepada JPV dan PKD supaya pemantauan dapat dilakukan terhadap aktiviti penternakan serta amalan kebersihan di lokasi ternakan ayam terbabit,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menggesa pengusaha ladang ternakan mengambil langkah kawalan yang lebih berkesan bagi mengurangkan pembiakan lalat selain memastikan operasi ternakan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast