SEGAMAT – Usaha memperkukuh peranan kawasan rukun tetangga (KRT) sebagai tunjang perpaduan dan keharmonian masyarakat dipertingkatkan apabila kerajaan menambah geran tahunan kepada RM10,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan KRT yang menjadi penggerak aktiviti kemasyarakatan dan memupuk semangat kejiranan di seluruh negara.
“Tapi kali ini saya setuju untuk rukun tetangga kerana selama 10 tahun untuk KRT ini hanya diberi 6,000. Jadi untuk kali ini saya setuju menambah peruntukkan dari RM6,000 ke RM10,000 untuk semua KRT,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat, di sini hari ini.
Pasa majlis sama, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk terus memperkasa agenda pendidikan Islam sebagai teras pembangunan modal insan negara.
Kerajaan katanya, turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM3.205 juta bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan infrastruktur asas di institusi pendidikan Islam di Johor melibatkan 16 projek.
Jelasnya, langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
“Bantuan kepada sekolah agama rakyat kembali disalurkan sejak 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan Madani bagi memastikan institusi berkenaan terus berperanan dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan kritikal dan mendesak di kuaters polis di Johor demi meningkatkan keselesaan dan kebajikan warga pasukan tersebut.- MalaysiaGazette.
















