KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengecam tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk memanipulasi gambar bagi mencemarkan nama baik Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, tindakan menyebarkan kandungan fitnah dan maklumat palsu itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah berpotensi menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
Menurutnya, penyebaran kandungan berkenaan yang didakwa dilakukan oleh akaun TikTok dikenali sebagai “Inside_Malaysia” dengan nama pengguna @rebel.dynasty69_ merupakan satu bentuk politik murahan yang tidak beretika.
“Tindakan menyebarkan bahan manipulasi AI ini adalah satu bentuk sabotaj maklumat yang sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab.
“Ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi besar menggugat keharmonian antara kaum dan agama yang selama ini dipelihara dengan baik di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Lingeshwaran berkata, kontroversi itu tercetus susulan penyebaran gambar yang didakwa telah disunting bagi memberi gambaran palsu seolah-olah seorang wanita Melayu bertudung terlibat dalam Program Dragon Boat Festival yang berlangsung pada 14 Jun lalu di Taman Segemal, Butterworth, Pulau Pinang.
Beliau menjelaskan, program berkenaan merupakan acara tahunan dianjurkan untuk komuniti setempat dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan satu laporan polis telah dibuat oleh pejabat Guan Eng bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Beliau berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pemilik akaun terbabit serta mana-mana individu yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu dan hasutan kebencian.
Pada masa sama, Lingeshwaran berkata, Guan Eng dikenali sebagai seorang pemimpin yang menghormati semua kaum dan agama serta telah lama menyalurkan bantuan dan peruntukan kepada masjid, surau, sekolah agama dan pelbagai program masyarakat Islam tanpa mengira latar belakang politik.
Beliau turut mengingatkan Guan Eng pernah mempertahankan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan pada penghujung tahun 1990-an sehingga berdepan tindakan undang-undang dan dipenjarakan.
“Saya menyeru semua pihak supaya menghentikan politik kebencian dan publisiti murahan yang hanya bertujuan merosakkan reputasi seseorang pemimpin.
“Jangan jadikan isu agama dan teknologi AI sebagai senjata politik sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian yang selama ini kita nikmati,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















