KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah itu dan kawasan perairan sekitarnya.
KPDN Semporna dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, pihaknya menerima satu kes serahan semalam daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak melibatkan rampasan barang kawalan yang disyaki dimiliki tanpa permit sah.
Menurutnya, hasil operasi di hadapan Jeti Umum Semporna itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk sebuah bot fiber bersama enjin sangkut Yamaha 200 HP, 310 liter petrol, 400 liter diesel, dua unit bateri, satu set sistem pendikit (throttle), sebuah kereta sorong serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.
Ujarnya, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM2,082.70, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM30,365.40.
“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, KPDN dalam masa sama memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.
Tegasnya, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dengan hukuman denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi individu, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – MalaysiaGazette
















