Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli ketika hadir ke Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 MEI 2025. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli semakin hilang fokus terhadap isu rakyat apabila dilihat terlalu obses mengkritik dan menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui Rafizi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, rakyat kini tidak lagi mendengar formula atau cadangan penyelesaian yang sering dibawa Rafizi sebelum ini, sebaliknya hanya disajikan dengan serangan politik terhadap Anwar.

“Apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini ialah Rafizi dan `Parti Kancil’ lebih banyak menghabiskan masa menyerang Perdana Menteri berbanding mengemukakan cadangan atau formula untuk membantu rakyat.

“Setiap hari yang kedengaran hanyalah kritikan terhadap Anwar tetapi rakyat masih tertanya-tanya apakah tawaran sebenar `Parti Kancil’ kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Rafizi mengumumkan Bersama berhasrat untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor, 11 Julai depan.

Rafizi dalam kenyataannya berkata, pemilihan kerusi tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor penilaian termasuk tahap penerimaan penduduk setempat terhadap parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, ketika kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat termasuk langkah menurunkan harga diesel dan memperkukuhkan ekonomi negara, Rafizi dilihat memilih untuk terus memainkan politik persepsi dan adu domba.

“Ini menunjukkan keutamaan beliau bukan lagi penyelesaian, tetapi dendam politik yang bersifat peribadi,” katanya.

Beliau berkata, politik kebencian mungkin mampu mencipta perhatian dan tajuk berita, namun ia tidak menyelesaikan masalah rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup serta cabaran ekonomi.

“Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang matang dan bijak. Mereka mampu menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya sibuk menyerang tanpa menawarkan formula.

“Hakikatnya, semakin kuat Rafizi menyerang Anwar, semakin menunjukkan bahawa Rafizi ketandusan idea dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk `Parti Kancil’. Politik bukan tentang siapa paling kuat menjerit, tetapi siapa mampu berjuang demi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast