SHAH ALAM – Tiga sindiket pengedaran dadah berasingan tumpas dengan rampasan dadah jenis bunga ganja seberat 171.6 kilogram (kg) bernilai RM13.73 juta dalam empat siri serbuan antara 17 hingga 22 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Sepang, BSJN Nilai serta Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah berskala besar.
Menurut beliau, kejayaan pertama dicatatkan pada 17 Jun lalu apabila Polis Bantuan MAHB KLIA mengesan dua bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di Terminal KLIA, Sepang.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 56 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 29.6 kilogram bernilai RM2.37 juta.
“Seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun yang dipercayai pemilik bagasi tersebut ditahan di ruang menunggu pelepasan penerbangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes kedua pula, katanya, sepasukan polis daripada BSJN Sepang dan Nilai menahan seorang lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan bersama dua bagasi di hadapan sebuah hotel di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan, 18 Jun lalu.
“Pemeriksaan terhadap kedua-dua bagasi itu menemukan 60 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 36 kilogram.
“Hasil soal siasat lanjut, salah seorang suspek membawa polis ke sebuah premis kediaman di Banting sebelum menunjukkan empat guni yang mengandungi 120 ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 72 kilogram,” katanya.
Menurut Shazeli, nilai keseluruhan rampasan bagi kes kedua dianggarkan bernilai RM8.64 juta.
“Selain dadah, polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 bernilai RM135,000 serta wang tunai dalam mata wang asing melibatkan 250 Pound Sterling dan 85 Dolar Singapura,” katanya.
Sementara itu, dalam kes ketiga, Polis Bantuan MAHB KLIA sekali lagi mengesan dua bagasi mencurigakan di Terminal KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun di ruang menunggu perlepasan penerbangan pada 22 Jun.
“Pemeriksaan terhadap bagasi tersebut menemukan 34 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 34 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.72 juta.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati negatif dadah dan individu terbabit direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Shazeli, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau di Malaysia.
“Siasatan mendapati suspek warga asing menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini,” katanya.
Selain itu, katanya, jumlah keseluruhan bunga ganja yang dirampas dalam operasi tersebut dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 572,000 individu berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 gram bagi setiap pengguna.
Katanya lagi, kejayaan operasi berkenaan membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah yang aktif, terancang dan beroperasi pada skala besar sehingga memberi ancaman serius kepada keselamatan masyarakat.
“PDRM khususnya Kontinjen Selangor akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan tanpa kompromi bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menjadi ‘keldai dadah’ dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran upah lumayan kerana perbuatan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang yang amat serius,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















