KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini telah mengeluarkan perintah injunksi interim sebelah pihak (ex-parte) terhadap pempengaruh Papagomo berhubung tindakan sivil yang dimulakan terhadapnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi perintah tersebut, mahkamah menghalang Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris menerbitkan sebarang pernyataan berunsur fitnah terhadap agensi berkenaan.
Bekas penulis blog itu turut diarahkan menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebarang kandungan memudaratkan dalam talian melalui laman social.
“Mahkamah juga menetapkan Wan Muhammad Azri tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan palsu, mengelirukan atau memudaratkan sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu,” ujar kenyataan tersebut dalam laman Facebook hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, perintah injunksi sebelah pihak itu terus berkuat kuasa sehingga pendengaran inter-parte atau arahan lanjut mahkamah.
Tindakan tersebut susulan notis susulan yang dikeluarkan MCMC kepada Papagomo pada 9 April lalu berhubung penerbitan kandungan palsu yang menuduh MCMC menyekat laporan berita MalaysiaGazette.
Ujar kenyataan, Papagomo juga didapati berulang kali menggunakan akaun media sosial untuk menyebarkan kandungan yang memudaratkan dalam talian.
Katanya, perintah tersebut dan tindakan sivil itu adalah berdasarkan undang-undang sedia ada yang memberi fokus kepada kandungan dalam talian yang boleh menjejaskan kepentingan awam, mengugat keharmonian masyarakat serta menghakis keyakinan terhadap institusi awam. – MalaysiaGazette
















