KUALA LUMPUR – Datuk Yasmeen Muhamad Shariff, telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak bagi penggal 2027-2031 dalam pemilihan yang diadakan sempena Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 Jun 2026.

Yasmeen memperoleh 136 undi daripada 189 Negara Pihak yang hadir dan mengundi, menempatkan Malaysia dengan jumlah undi tertinggi.

Pemilihan ini merupakan kali kedua beliau dipilih menganggotai jawatankuasa tersebut, setelah berkhidmat sebagai anggota bagi penggal 2013-2017.

Kementerian Luar Negeri berkata, pemilihan ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kepakaran serta dedikasi beliau dalam memajukan hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

Ia juga merupakan pengiktirafan kepada Malaysia terhadap usaha berterusan negara dalam memajukan hak kanak-kanak melalui dasar yang inklusif, reformasi perundangan serta pelbagai program yang bertujuan memastikan setiap kanak-kanak diberikan peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas kerjasama erat serta usaha berterusan dalam menyokong pencalonan Malaysia yang telah menyumbang kepada kejayaan pemilihan Dato’ Yasmeen sebagai anggota
jawatankuasa tersebut.

“Sebagai anggota Jawatankuasa tersebut, Datuk Yasmeen akan berkhidmat atas kapasiti peribadi sebagai pakar bebas. Beliau akan menyumbang kepada mandat Jawatankuasa dalam memantau pelaksanaan Konvensyen, melibatkan diri dalam dialog konstruktif dengan negara-negara pihak, serta
mempromosikan pendekatan berasaskan hak dalam menangani isu-isu yang menjejaskan kanak-kanak di peringkat global,” katanya.

Kementerian itu berkata, Malaysia kekal komited dalam mempromosi dan melindungi hak kanak-kanak selaras dengan prinsip dan peruntukan Konvensyen tersebut dan akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan dalam menangani cabaran semasa yang memberi kesan kepada kanak-kanak.

Tambahnya, dalam landskap global yang semakin kompleks pada masa kini, peranan jawatankuasa tersebut kekal penting dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan semua kanak-kanak.

“Malaysia mengalu-alukan sumbangan berharga Datuk Yasmeen kepada kerja-kerja Jawatankuasa tersebut serta kepada usaha antarabangsa yang lebih luas bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast