KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu, Ammar Haikal melancarkan single debutnya berjudul Gila Bayang yang menandakan detik penting dalam kariernya bagi meneruskan perjalanan seni
Menariknya, sebelum dilancarkan secara rasmi, Gila Bayang telah mencetuskan fenomena awal di TikTok dengan lebih 60,000 video ciptaan pengguna sekali gus membuktikan sambutan yang amat memberangsangkan daripada para pendengar dan pengguna media
sosial.
Lagu itu mengangkat kisah cinta yang tidak kesampaian serta perasaan terperangkap dalam bayangan seseorang yang sukar dilupakan.
Menggabungkan elemen pop moden dengan lirik yang penuh emosi, lagu ini membawa pendengar menyelami perjalanan seseorang yang menyimpan harapan untuk membina masa depan bersama insan tercinta, namun akhirnya kecewa apabila menyedari dirinya bukan satu-satunya pilihan.
“Saya sangat teruja dengan pelancaran single pertama saya ini. Saya berharap para peminat dan pendengar dapat menerima ‘Gila Bayang’ dengan baik.
“Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan, dan saya harap semua dapat terus mendengar serta menstrim lagu ini,”kata Ammar Haikal yang juga anak kepada vokalis Spring, Ameng.
Turut berkongsi keterujaannya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi.

Dia meluahkan rasa gembira dan berbangga melihat perjalanan Ammar Haikal yang bermula sebagai Juara XO CAMP! musim pertama hingga dapat melancarkan single debutnya sendiri.
“Ini merupakan antara matlamat utama kami di XO House iaitu melahirkan generasi baharu bakat tempatan dan memberi peluang kepada mereka untuk membina kerjaya dalam industri muzik.
“Ammar adalah sebahagian daripada legasi generasi baharu XO House dan kami berharap ‘Gila Bayang’ menjadi permulaan yang baik untuk perjalanan seninya,” katanya.
Muzik video Gila Bayang turut menjadi perhatian apabila turut menampilkan Ameng selain dibintangi penyanyi dan personaliti media sosial Alyssa Dezek yang memainkan watak utama bersama Ammar.
Gabungan istimewa ini dijangka memberi daya tarikan tersendiri kepada muzik video Gila Bayang serta melengkapkan penceritaan lagu tersebut.
Lagu Gila Bayang merupakan hasil ciptaan Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus yang turut bertanggungjawab menulis lirik lagu ini. Dari segi produksi pula, lagu itu diterbitkan oleh Adib Hamdi.
Dengan melodi yang mudah melekat di ingatan serta penceritaan yang dekat dengan pengalaman ramai, Gila Bayang dijangka mampu menyentuh hati para pendengar yang pernah melalui episod cinta yang rumit dan penuh harapan. – MalaysiaGazette

awal di TikTok dengan lebih 60,000 video ciptaan pengguna.
















