KUALA LUMPUR – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengumumkan pelantikan Azman Hasim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 18 Jun lalu.
Azman yang mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan telah berkhidmat hampir dua dekad bersama agensi berkenaan.
Sebelum ini, ketika menerajui Bahagian Pembangunan Korporat sebagai Pengurus Besar, Azman berjaya memacu pelbagai transformasi penting termasuk menyegerakan agenda pendigitalan, memperkukuh keupayaan organisasi serta meningkatkan kecekapan operasi.
Kejayaan tersebut sekali gus meletakkan AKPK di landasan terbaik untuk memenuhi keperluan kewangan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sentiasa berubah.
Untuk rekod, Azman sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 Januari lalu, susulan persaraan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Azaddin Ngah Tasir bagi memastikan peralihan kepimpinan dan kesinambungan hala tuju strategik agensi berjalan lancar.
Sementara itu, Pengerusi AKPK, Fauziah Hisham bersama Ahli Lembaga Pengarah menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan baharu itu dalam memandu organisasi ke fasa pertumbuhan dan impak yang seterusnya.
Fauziah berkata, dengan pengalaman yang luas, pandangan yang jauh dan pemahaman mendalam tentang mandat AKPK, Azman ialah pilihan yang paling tepat.
Sebagai KPE yang baharu, Azman akan menerajui pelaksanaan strategi jangka panjang agensi dengan tumpuan memperteguh keupayaan kewangan, meningkatkan akses khidmat nasihat serta meluaskan jangkauan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian.
Azman merupakan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Perancang Kewangan Syariah Berdaftar dengan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).
Beliau juga merupakan pemegang ijazah dalam bidang Perakaunan dan Kewangan dari University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom. – MalaysiaGazette
















