Tertuduh, Tang Wee Tat didakwa atas 207 pertuduhan di Mahkamah Jawi, Pulau Pinang hari ini.

JAWI – Seorang lelaki yang berstatus bankrap mengaku tidak bersalah atas 207 pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memasuki kontrak dan menggunakan jawatan pengarah syarikat bagi urusan perniagaan.

Tertuduh, Tang Wee Tat, 62, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.

Mengikut enam pertuduhan, dia didakwa menandatangani enam surat setuju terima dengan menggunakan jawatan sebagai pengarah walaupun berstatus bankrap.

Bekas pengurus projek itu dituduh melakukan kesalahan itu antara 10 Mei hingga 21 Ogos 2023 di Batu Kawan.

Selain itu, dia turut didakwa atas pertuduhan menandatangani 201 surat-menyurat rasmi syarikat menggunakan jawatan sama bagi menjalankan urusan perniagaan antara 26 November 2021 hingga 6 Mei 2024 di tempat sama.

Mengikut kertas pertuduhan, dia sebagai seorang bankrap yang belum dilepaskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau Mahkamah telah menjalankan perniagaan atau memasuki kontrak untuk perniagaan dengan menandatangani ‘Letter Of Award’ dan surat menyurat sebagai Pengarah Global Max Resources Sdn Bhd dengan Lien Dak Engineering Sdn Bhd.

Tindakan itu didakwa dibuat tanpa memberitahu Lien Dak Engineering Sdn Bhd bahawa tertuduh adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan sebelum menjalankan perniagaan atau memasuki kontrak tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Insolvensi 1967 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Ain Najwa Abdul Nasser menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah mendengar serta membicarakan bersama kesemua 69 kes yang masing-masing mengandungi tiga pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam K. Thangesvaran yang mewakili tertuduh, memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan pesakit buah pinggang dan telah diisytiharkan bankrap sejak 2017.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dan kes akan disebut semula 28 Julai depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast