Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Proses melahirkan pelapis UMNO perlu melalui pengalaman dan perjuangan panjang, bukan jalan pintas untuk mendapatkan jawatan atau menjadi calon pilihan raya.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO sentiasa membuka ruang kepada pemimpin baharu untuk tampil sebagai pelapis kepimpinan, namun setiap individu perlu melalui proses pembangunan politik yang sewajarnya.

“Saya setuju anak muda diberi peluang, tetapi politik ini satu pertandingan maraton sejauh 42.2 kilometer, bukan secepat larian 100 meter,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada keputusan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, bulan depan.

Ahmad berkata, beliau dimaklumkan bahawa antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati ialah kegagalan anak Mohd Puad dipilih sebagai calon bagi menggantikan bapanya di kerusi DUN Rengit.

Menurutnya, anak Mohd Puad yang berusia 29 tahun masih mempunyai masa depan yang panjang dalam politik dan boleh terus membina pengalaman dalam parti sebelum dipertimbangkan untuk memikul tanggungjawab lebih besar.

“Saya doakan agar beliau terus tabah dan setia berjuang dalam UMNO. Cuba bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti dan membina pengalaman. Mana tahu suatu hari nanti boleh dipertimbangkan untuk menjadi calon,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad mengakui berasa dukacita dengan keputusan Mohd Puad meninggalkan UMNO, namun berharap perjuangan politik dapat diteruskan secara berhemah dan menghormati nilai-nilai Bangsa Johor.

“Apa pun, selamat berjuang, namun berjuanglah dengan tertib Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast