Zainal (kanan) dan Azhar (dua kanan) bersama-sama Alwiyah (dua kiri) semasa Majlis Penamaan Calon BN Bagi PRN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Datuk Zainal Abidin Osman yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau selama empat penggal berturut-turut berlapang dada apabila anaknya, Azhar yang juga Ketua Pemuda Mersing tidak terpilih sebagai calon di kawasan itu.

Malah, menurut Naib Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Negeri Johor dan Naib Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor itu, anaknya sendiri menjadi penyokong bagi calon kerusi Endau iaitu Alwiyah Talib yang menyertai semula UMNO pada 4 Jun lalu.

Terdahulu, Alwiyah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, membuat kejutan apabila dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi tersebut dalam Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat UMNO Johor, di sini semalam.

Pemilihan beliau menarik perhatian banyak pihak susulan tempoh singkat sejak kembali menyertai UMNO selepas meninggalkan parti itu apabila memenangi kerusi DUN Endau pada PRN Johor lalu.

Pada PRN Johor 2018, Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket BN mewakili UMNO sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu pada Mei tahun sama bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO lain.

Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Perikatan Nasional (PN) sebelum dilantik sebagai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing pada 10 Mac lalu.

Kerusi DUN Endau dijangka menyaksikan saingan sengit pada PRN kali ini memandangkan kawasan berkenaan sebelum ini dianggap antara kubu kuat PN di daerah Mersing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast